fbpx

Die For You diberi keadilan, terima kasih Ariana Grande

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
THE Weeknd sekali lagi bekerjasama dengan Ariana menerusi lagu Die For You.

LAGU yang diluncurkan tujuh tahun lalu dipetik dari album Starboy berjudul Die For You terus meroket debut di tangga pertama carta unggul Billboard Hot 100.

Bagaimana pemilik lagu tersebut, The Weeknd melakukannya? Adun semula (remix) lagu dan sekali lagi menjalin kolaborasi dengan vokalis wanita kegemarannya, Ariana Grande.

Ini bukan kali pertama The Weeknd atau nama sebenarnya, Abel Makkonen Tesfaye bekerjasama dengan Ariana. Sebelum ini dua bintang terkemuka dunia itu pernah melakukan perkara sama menerusi lagu Love Me Harder (2014) dan Save Your Tears (2020).

Termasuklah beberapa karya berstatus deepcut (tidak begitu popular) lain seperti I Heard You’re Married dan Off The Table.

Sejujurnya, Die For You merupakan antara trek kegemaran penulis dalam diskografi Starboy. Hairan juga mengapa selepas tujuh tahun, baru sekarang mendaki carta popular dunia itu.

Antem ikonik The Weeknd

Asalnya, Die For You memang berstatus antem ikonik The Weeknd. Kalau tidak salah, lama lagu tersebut berlegar-legar dalam senarai 10 teratas carta Billboard.

Satu yang pasti, ini semua gara-gara TikTok yang membuatkan lagu tersebut kembali menjadi bualan ramai dan trending dalam platform media sosial tersebut.

Ariana sekali lagi menjadi ‘penyelamat’ dan meneruskan kemaraan lagu tersebut. Sinergi vokal antara vokalis wanita itu dengan The Weeknd memang tidak boleh dipertikaikan. Mereka pernah duduk di posisi pertama Billboard menerusi Save Your Tears yang juga dijadikan versi remix.

Mendengar paduan vokal antara The Weeknd dan Ariana, penyatuan yang diwujudkan antara mereka sangat menenangkan. Ariana seorang vokalis yang berstatus ‘powerhouse’ namun bekerja dengan The Weeknd, ketenangan hadir saat mendengarnya.

Vokal ibarat jus ceri, kranberi

Vokal mereka ‘bersatu’ dalam kondisi terbaik ibarat jus ceri dan kranberi yang dimasukkan di dalam blender atau pengisar serta disempurnakan dengan bahan-bahan pemanis lain.

Hasilnya, terlahirlah sebuah produk yang disifatkan premium dan mudah menyerap masuk ke dalam seluruh deria mana-mana manusia yang mendengar. Begitulah penangan ditinggalkan The Weeknd dan Ariana.

Sebenarnya, penulis bukanlah peminat lagu dilahirkan semula dalam versi remix, namun kadang-kadang disebabkan kekangan situasi dan masa, sesebuah karya yang bagus itu tidak mendapat keadilan sewajarnya ketika mula dikongsikan kepada dunia.

Die For You adalah salah satu contoh.Hanya selepas tujuh tahun dilancarkan, baru sekarang mendapat keadilan sewajarnya. Sekali lagi, kredit harus diberikan kepada TikTok yang dahulu dipandang sebelah mata.

Sekarang menjadi ejen pemasaran paling berkesan yang memberi dampak luar biasa buat semua orang termasuk pelaku seni muzik. Die For You (remix), sebuah perkongsian melodi berstatus mahakarya The Weeknd dan Ariana!

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI