fbpx

K2

Chic, ceria dengan dekorasi serba merah jambu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Dekorasi rumah banglo ini didominasi tona-tona merah jambu.

RONA merah jambu menyuntik aura keremajaan dan kelembutan sekali gus menjadikan suasana tampak chic serta meningkatkan mood sesiapa sahaja yang memandangnya.

Biarpun penggunaan warna merah jambu dalam dunia fesyen bukanlah sesuatu yang asing, namun tidak ramai yang berani menjadikannya sebagai tema untuk hiasan rumah.

Bagi Nur Edura Na’ain, 39, minat mendalam terhadap warna merah jambu telah mendorongnya untuk mencuba sesuatu di luar kebiasaan apabila menghiasi keseluruhan rumah banglo miliknya itu dengan rona tersebut.

Berkeluasan rumah 916 kaki persegi, rumah banglo terletak di Machang, Kelantan itu dihiasi dengan pelbagai lapisan tona merah jambu termasuk kertas dinding, sofa, karpet sehingga ke perkakas rumah.

Menurutnya, rumah jenis banglo tiga bilik, dua bilik air, satu ruang tamu dan satu bahagian dapur itu dibeli dari pemaju pada tahun 2010.

“Saya sudah 13 tahun mendiami rumah ini. Saya tiada konsep khusus dalam pilihan hiasan rumah. Saya hanya mementingkan keadaan rumah yang kemas, bersih dan sedap mata memandang.

“Saya memang minat merah jambu dari zaman sekolah. Kalau ikutkan memang nak semua benda warna pink, tapi masa mula pindah suami tak mahu rumah berwarna merah jambu semua.

“Dahulu, hanya ruang tamu saya cat merah jambu dan ungu, manakala bahagian dapur warna hijau,” katanya.

Biarpun serba merah jambu, Nur Edura bijak menggarap tona-tona warna itu pada dekorasi kediamannya.

Mengulas berkenaan penerimaan suami, Ashraff Abdullah, 40, terhadap pilihannya itu, wanita yang bekerja sebagai penjawat awam itu memiliki cara untuk tambat hati suaminya itu.

Ujarnya, peluang berjauhan dengan suami yang bekerja di Terengganu selama lapan tahun dimanfaatkan dengan melakukan perubahan sedikit demi sedikit sehingga keseluruhan rumahnya didominasi dengan warna itu.

“Memandangkan jarang jumpa suami dan saya hanya bersama dengan anak-anak di rumah, saya mengisi masa lapang dengan mengemas rumah. Dari situlah, saya ubah semuanya jadi warna kegemaran iaitu merah jambu.

“Apabila suami balik dia terkejut rumah sudah bertukar wajah, tapi Alhamdulilah dia suka dengan warna pilihan saya ini. Bila kawan-kawan suami datang rumah pun terkejut sebab semuanya merah jambu, namun mereka puji dekorasi saya,” jelasnya.

Memegang prinsip tidak membazir, ibu kepada lima orang anak itu memilih untuk membeli barangan hiasan dalaman rumahnya menerusi aplikasi Shopee dengan menggunakan duit tabung dan duit main kutu.

Memilih dapur sebagai ruang kegemaran, Nur Edura mendedahkan susun atur dapur rumahnya akan berubah sebulan sekali.

“Sekarang tak susah untuk mencari barang berwarna merah jambu. Saya jenis yang akan cari sampai jumpa warna itu. Kalau bukan warna merah jambu, saya tidak akan beli.

“Bagi saya, mencari warna merah jambu itu satu kepuasan. Nak dekat raya ini, saya akan tukar dekorasi lagi. Mungkin saya akan turunkan kertas dinding, kemudian cat dinding dengan warna merah jambu,” jelasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI