fbpx

80 peratus graduan manfaat ilmu kraf

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
NOORIZAL (dua dari kanan) memberi penerangan berhubung IKN kepada orang ramai sempena Hari Kraf Kebangsaan Malaysia 2023 di Kompleks Kraftangan Jalan Conlay, Kuala Lumpur kelmarin. – SADDAM YUSOFF

KUALA LUMPUR – Seramai 80 peratus daripada 2,892 graduan Institut Kraf Negara (IKN) memanfaatkan ilmu kemahiran dan akademik seni kraf yang diperoleh sepanjang belajar di institut itu sebagai bidang kerjaya dan sebahagian besar daripada mereka kini bergelar usahawan.

Enam bidang utama yang disediakan di IKN adalah Seni Kraf Seramik, Seni Kraf Batik, Seni Kraf Tenunan, Seni Kraf Logam, Seni Kraf Ukiran Kayu dan Seni Kraf Rotan menerusi tiga program iaitu Diploma Seni Kraf, Sijil Seni Kraf serta Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) mengikut tempoh pengajian tertentu.

Ketua Pusat Kecemerlangan Kraf IKN, Noorizal Ramly berkata, IKN berperanan sebagai institusi pendidikan yang dipertanggungjawabkan untuk mengeluarkan lulusan modal insan yang berpengetahuan dan berkemahiran dalam bidang kraf.

“Program yang ditawarkan di IKN memberi tumpuan kepada golongan belia berusia 18 hingga 35 tahun terutama lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

“Pengajian di IKN juga dipecahkan kepada 70 peratus kemahiran dan 30 peratus akademik yang menjadi struktur asas pengajian yang mendapat akreditasi Agensi Kelayakan Malaysia (MQA),” katanya dalam sesi wawancara bersama Kosmo! kelmarin.

PEMBANTU Pegawai Latihan IKN, Norshela Emyza (tengah) memberi tunjuk ajar cara mewarna batik canting di Kompleks Kraftangan Jalan Conlay, Kuala Lumpur.

Tambahnya, IKN mempunyai kekuatan dalam bidang Seni Kraf Logam dan Seni Kraf Ukiran Kayu dengan bimbingan tenaga pengajar yang berpengalaman luas serta mahir mengikut kepakaran masing-masing.

“Sebagai contoh, ada antara mereka pernah menjadi juri dan hakim bagi prapertandingan World Skills Malaysia Belia selain lengkap dengan ilmu latihan kritikal bersama tokoh-tokoh hebat lain.

“Kemahiran tenaga pengajar mahir diperolehi hasil berguru bersama tokoh-tokoh kraf utama negara seperti tokoh kraf kayu ukiran halus iaitu Profesor Adjung Norhaiza Noordin dan Wan Mustapa Wan Su. Mereka ini juga turut didedahkan dengan tenaga pakar luar negara.

“Lebih membanggakan, tiga orang tenaga pengajar jurusan Seni Kraf Kayu turut dilantik sebagai panel pembangun National Occupational Skills Standards (NOSS) dalam bidang Pengukiran Kayu Tahap 2, 3, 4 & 5,” kongsinya.

Dalam usaha menarik minat pelajar memasuki IKN di samping memenuhi keperluan tenaga mahir untuk bidang kraf dan industri kreatif, Noorizal berkata, pihaknya mengambil peluang membuka Pavilion IKN sempena penganjuran Hari Kraf Kebangsaan (HKK) 2023 di Kompleks Kraf Kuala Lumpur bermula 1 Mac lalu sehingga 13 Mac depan.

Ujarnya, Pavilion IKN dibuka bagi mempromosikan IKN kepada para pelajar baharu dan memberi peluang kepada orang ramai untuk mencuba enam interaktif kraf seperti mana enam bidang yang ditawarkan di institusi itu. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI