KUALA LUMPUR – Harapan hampir 3,000 mangsa untuk mendapat pulangan imbuhan lumayan akhirnya lebur setelah terlibat dalam sindiket penipuan pelaburan yang membabitkan kerugian lebih RM830 juta.
Perkara itu didedahkan Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) dan Pertubuhan Keprihatinan Jenayah Komuniti Malaysia (MCCC) bersama lebih 150 mangsa penipuan ketika membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul di sini, hari ini.
Menurut MHO, modus operandi sindiket yang berpangkalan di Hong Kong ini adalah dengan melantik ejen-ejen daripada syarikat pengurusan pemasaran untuk mempromosi lima syarikat tempatan berbeza.
Antara pelaburan ditawarkan adalah Tabung Amanah, saham boleh tebus syariah atau ‘Islamic Redeemable Shares (RPS-i), Nota Jangka Sederhana (MTN) dan Sukuk.
Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), Datuk Hishamuddin Hashim berkata, ejen-ejen ini akan menghubungi mangsa dengan menawarkan imbuhan pelaburan yang lumayan.
Jelasnya, kebanyakan mangsa percaya dan bersetuju untuk melabur kerana mempunyai perjanjian rasmi serta syarikat-syarikat yang ditawarkan adalah berdaftar di Malaysia.
“Dua syarikat adalah Berhad, dua yang lain pula adalah syarikat pengurusan unit amanah dan sebuah lagi adalah syarikat dari Australia.
“Apabila mangsa dengar perkataan Berhad, mereka percaya bahawa syarikat ini seolah-olah diluluskan oleh Bursa Malaysia, tetapi malangnya tidak.
“Syarikat-syarikat ini juga ‘menjual’ logo Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC). Ramai mangsa bila mereka nampak logo ini, mereka menganggap ia sudah diluluskan,” katanya dalam sidang akhbar, disini, hari ini.
Tambahnya, nama-nama individu berpengaruh seperti ahli politik serta pekerja yang berjawatan tinggi di Bank Negara turut diguna bagi mengelirukan mangsa-mangsa yang terdiri daripada pelbagai bangsa dan warga asing.
Salah seorang mangsa, Fazlifah Awang, 48, percaya untuk laburkan lebih RM300,000 kerana menganggap skim tersebut telah diluluskan kerajaan.
Katanya yang bekerja sebagai pengusaha katering, dia mendapat panggilan daripada seorang ejen sebelum modul, produk serta lokasi syarikat ditunjukkan membuat dirinya bertambah yakin.
“Saya sertai sejak 2019, mereka (ejen) menjanjikan pulangan imbuhan sebanyak 30 peratus. Pada mulanya dapat, tetapi selepas setahun modal pokok dan imbuhan tidak dipulangkan. Saya terus buat laporan polis.
“Saya e-mel dan telefon tidak berangkat. Ejen pula menghilangkan diri. Bila saya laporkan pada MHO, tidak sangka ramai juga senasib dengan saya,” luahnya.
Seorang mangsa lain, warganegara Yemen, Amin, 59, turut diperdayakan untuk melabur lebih RM350,000 oleh ejen yang bekerja sebagai seorang pegawai perhubungan sebuah bank tempatan.
Ujarnya, dia terpedaya dengan jaminan yang diberi oleh ejen terbabit berserta imbuhan lumayan, namun selepas dua tahun, tiada jawapan yang diberikan kepadanya.
“Saya harap kerajaan Malaysia dan pihak penguatkuasa dapat berbuat sesuatu untuk membantu mangsa mendapatkan wang mereka semula,” katanya.