fbpx

30 peratus kad MyKid tidak dituntut ibu bapa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Saifuddin ketika ditemui pemberita selepas mempengerusikan Majlis Mesyuarat Agung Tahunan Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) Kali ke-29 dan ke-30, di Maktab PDRM, Cheras, Kuala Lumpur, hari ini.

KUALA LUMPUR – Kementerian Dalam Negeri (KDN) memaklumkan 30 peratus kad MyKid masih tidak dituntut oleh penjaga atau ibu bapa selepas memohonnya di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

Tanpa menyebutkan jumlah keseluruhan kad yang belum diambil, Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, pihaknya juga tidak menafikan berlaku kelewatan perolehan kad MyKid buat masa ini.

“Di sebalik keluhan ibu bapa berhubung soal kad MyKid lambat diperoleh, masih banyak juga jumlah penjaga dan ibu bapa yang belum menuntut kad tersebut.

“Saya mewarisi sistem lama, satu proses tender terbuka telah dibuat dan dimenangi sebuah syarikat, tetapi kemudiannya masalah ketidakcukupan bahan membuat kad tersebut berlaku,” katanya.

Saifuddin berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas mempengerusikan Majlis Mesyuarat Agung Tahunan Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) kali ke-29 dan 30, di Maktab PDRM, di sini, hari ini.

Menurut Saifuddin, masalah ketidakcukupan bahan membuat Mykid secara tidak langsung mendorong proses memperoleh kad itu juga menjadi lambat.

Dalam pada itu, Saifuddin turut menyatakan hampir 30 peratus ibu bapa tidak mengambil adalah angka yang besar dan akan merugikan kerajaan.

“Saya ada keluarkan arahan khusus kepada syarikat (pembekal) agar masalah lambat dapat kad MyKid ditangani segera, turut diminta syarikat untuk mengikut prasyarat yang telah ditentukan soal pengeluaran kad itu.

“Justeru, saya menasihati ibu apa yang belum menuntut MyKid untuk mengambilnya segera, ini kerana selepas beberapa tempoh kad tidak diambil akan dilupuskan,” katanya. -KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI