KAMPALA, Uganda – Parlimen Uganda bersedia mempertimbangkan draf undang-undang yang akan mendakwa individu dikenal pasti sebagai lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) dengan mereka boleh dikenakan hukuman penjara 10 tahun, lapor Badan Penyiaran Britain (BBC) semalam.
Berdasarkan rang undang-undang (RUU) tersebut, tuan tanah yang menyewakan premis kepada golongan LGBT juga akan dijatuhi hukuman penjara.
Seorang ahli politik Uganda, Annet Anita Among kemudian menggunakan perkataan bersifat homofobia selepas RUU itu dibentangkan.
Ia menjadi petanda baharu mengenai peningkatan homofobia di Uganda di mana perbuatan homoseksual sudah dianggap menyalahi undang-undang.
Kumpulan Human Rights Watch (HRW) berkata, pihaknya percaya jika RUU itu diluluskan, Uganda akan menjadi satu-satunya negara Afrika yang menghukum individu dikenal pasti sebagai LGBT.
RUU itu juga akan mengharamkan pembiayaan atau promosi berkaitan aktiviti LGBT.
Sesiapa yang terlibat dalam hubungan seks sejenis atau perkahwinan songsang akan dipenjara 10 tahun. Individu yang melakukan hubungan sejenis dengan golongan di bawah umur juga berisiko menjalani hukuman serupa.
RUU itu dibentangkan oleh ahli Parlimen pembangkang, Asuman Basalirwa dan tidak jelas sama ada Presiden Uganda, Yoweri Museveni dan parti yang diwakili beliau, Gerakan Penentangan Nasional (NRM) akan menyokong cadangan tersebut.
Bagaimanapun, Museveni baru-baru ini telah bersuara menentang homoseksual, manakala Anita Among yang menghina dan menyatakan pandangan negatif mengenai LGBT juga merupakan ahli NRM.
Hukuman penjara seumur hidup bagi kesalahan melakukan hubungan sejenis sudah wujud dalam kanun keseksaan Uganda. Tidak jelas sama ada perundangan baharu itu akan mengatasi perkara tersebut.
Hubungan sejenis diharamkan di kira-kira 30 negara Afrika di mana ramai orang menjunjung nilai agama dan sosial walaupun mereka dianggap konservatif. – Agensi