PEMILIK kelab Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim mengkritik sikap segelintir pemilik kelab Liga Malaysia (Liga M) yang enggan menanggung kos penyelenggaraan padang sekiranya kerajaan bersetuju menukar rumput kepada jenis zeon zoysia.
Pendedahan itu dibuat menerusi laman Facebook Johor Southern Tigers selepas Tunku Mahkota Johor (TMJ) mendapat maklumat daripada sumber tertentu yang boleh dipercayai.
Menurut TMJ, kos penyelenggaraan rumput zeon zoysia sekitar RM240,000 dan perlu ditanggung pasukan, manakala kos penukaran padang pula dibiayai oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dengan nilai RM1 juta.
Kata Tunku Ismail, alasan beberapa pasukan yang tidak sanggup menanggung kos penyelenggaraan dianggap tidak layak terbabit dalam industri bola sepak tempatan.
“Kos selenggara sekitar RM240,000. Takkan sudah dapat padang percuma, tetapi tidak boleh menampung kos penyelenggaraan walaupun menerima bajet tahunan bernilai jutaan ringgit?
“Ini akibatnya apabila ada pemilik kelab atau presiden bola sepak tidak ada minat atau kecintaan terhadap bola sepak, tetapi berada dalam industri semata-mata untuk agenda peribadi,” katanya.
TMJ turut mengakui, padang yang teruk dilihat menjadi punca kenapa bola sepak negara sukar untuk maju dan terus ketinggalan berbanding Thailand dan Vietnam.
“Apabila saya melakukan penyelidikan dan mendapat maklumat, ada beberapa pasukan yang tidak berminat dan tidak mahu mengeluarkan wang untuk penjagaan padang, meskipun ia perkara yang penting.
“Keadaan padang yang teruk ini juga adalah sebab mengapa negara jiran seperti Thailand, Vietnam dan lain-lain dapat menganjurkan kejohanan antarabangsa dan kita tidak,” katanya.