fbpx

Tauliah agama untuk pelihara Islam, bukan menyusahkan – Sultan Selangor

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Sultan Sharafuddin berkenan berangkat menunaikan Solat Jumaat di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah. - Gambar Facebook SELANGOR ROYAL OFFICE

SHAH ALAM – Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah keperluan Tauliah Mengajar bukan untuk menghalang atau menyusahkan seseorang yang ingin mengajar agama.

Menerusi kenyataan dimuat naik dalam Facebook (FB) Selangor Royal Office, baginda menegaskan ia sebagai langkah pencegahan bagi memenuhi maqasid syariah dalam aspek memelihara agama Islam.

Baginda turut menyeru menyeru umat Islam memahami dan menghayati intipati khutbah Jumaat bertajuk ‘Tauliah Mengajar: Suatu Keperluan.

“Memetik antara isi penting khutbah berkenaan, baginda bertitah bahawa sering memberi peringatan, hanya mereka yang benar-benar mahir dan mempunyai pengetahuan yang luas mengenai agama Islam sahaja yang boleh diberikan tauliah untuk mengajar atau ceramah di masjid-masjid atau surau-surau di seluruh negeri Selangor.

Gambar Facebook SELANGOR ROYAL OFFICE

“Justeru, bagi memastikan agama Islam terus terpelihara daripada sebarang anasir penyebaran ajaran salah, fitnah memfitnah dan bersangka buruk yang boleh menimbulkan kesan negatif terhadap agama, masyarakat dan negara maka tauliah diperlukan,” katanya hari ini.

Jelas kenyataan itu, baginda juga senada dengan khatib yang menyeru agar semua pemegang tauliah Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), hendaklah pada setiap masa mematuhi undang-undang atau apa-apa arahan, larangan atau perintah yang diberikan oleh pihak berkuasa agama.

“Mereka juga hendaklah menggunakan Tauliah Mengajar pada situasi yang betul, bukannya untuk kepentingan dan keuntungan peribadi.

“Tidak menyelitkan lawak jenaka yang melampau sehingga masyarakat hanya mengingati lawak berbanding ilmu yang disampaikan, yang akhirnya akan menyebabkan masyarakat lebih tertarik kepada penceramah hanya kerana lawaknya, tetapi bukan kepada ilmunya,” titahnya. – KOSMO! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI