MUNGKIN ada yang masih ingat atau barangkali terlupa, bakat muda bernama Syafiq Abdilah pernah menyertai program realiti ‘Budak-budak Baru Nak Up’ atau BBNU, Big Stage musim keempat pada 2022.
Sedikit tenggelam selepas berakhirnya program tersebut, Syafiq enggan dirinya dilupakan peminat.
Justeru, pemilik nama lengkap Mohammad Syafiq Abdillah Soony itu hadir mempertaruhkan buah tangan terbaharu berjudul Kekal bawah syarikat rakaman Universal Music Malaysia.
Dicipta dan ditulis John Jeeves, Ikhwan Fatanna, Omar K dan Pique, Kekal disusun serta diterbitkan oleh John dan Omar selaku penerbit bersama.
Bercakap tentang Kekal, penyanyi muda asal Brunei itu berkata, lagu tersebut disifatkan sebagai sebuah karya yang sangat indah dan menyentuh perasaan.
“Lagu ini sangat berbeza dengan karya pertama saya sebelum ini. Perasaan saya sangat teruja untuk melihat penerimaan pendengar terhadap bunyi baharu yang lebih matang dan berbeza,” ujarnya.
Kekal bercerita perihal perasaan seseorang yang memahami erti cinta sejati dan gambaran keinginan untuk kekal dalam hidup bersama insan tercinta.
Jarak memisahkan
Sebelum dilancarkan secara rasmi pada 3 Mac lalu, Syafiq sebenarnya sudah melalui proses rakaman lagu tersebut sejak hujung 2021.
Sementara, rakaman video muzik pula dibuat pada Januari lalu selama dua hari dengan mendapat sentuhan Harith Zazman selaku pengarah.
Biarpun berjalan sempurna dan lancar, penyanyi berusia 23 tahun itu tetap berdepan cabaran dari segi jarak memandangkan buat masa ini dia masih menetap di Brunei.
Jika ada urusan membabitkan sebarang projek atau kerja berkaitan karier seni, mahu tidak mahu, dia perlu berkorban dan terbang ke Malaysia bagi memenuhi komitmen yang diberikan.
Jauh di sudut hati, dia mengharapkan lagu Kekal mendapat tempat di hati peminat sekali gus mereka dapat merasai apa yang cuba disampaikannya dalam karya tersebut.
“Semoga suatu hari nanti, lagu ini akan menjadi runut bunyi kisah cinta nyata pendengar sejagat,” ujar Syafiq menutup perbualan.
Kekal boleh didengari menerusi semua platform digital utama seperti Spotify, JOOX, Apple Music, KKBOX, Deezer dan YouTube Music.
Sementara video muzik rasmi lagu tersebut tersedia dalam saluran YouTube Universal Music Malaysia.