KUALA LUMPUR – ‘Presiden UMNO ingin menyamakan saya dengan dirinya bahawa akan wujud Kluster Mahkamah dalam kalangan pemimpin Perikatan Nasional,’
Demikianlah kata-kata bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin selepas mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, hari ini.
Muhyiddin atau nama sebenarnya Mahiaddin Md Yasin, 76, dihadapkan ke mahkamah atas empat pertuduhan menggunakan kedudukan untuk mendapatkan suapan RM232.5 juta dan dua pertuduhan pengubahan wang haram RM195 juta tiga tahun lalu.
Jelasnya yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), sebelum keterangannya diambil semalam, Jabatan Peguam Negara telah membuat keputusan untuk mendakwa dirinya.
“Bagaimana keputusan untuk mendakwa telah dibuat sedangkan keterangan saya mengenainya belum diambil?
“Saya dapati keputusan untuk mendakwa saya sebenarnya telah dibuat lebih awal oleh pihak yang paling berkuasa dalam pentadbiran negara sebelum sisatan dilengkapkan.
“Mereka hanya menggunakan agensi penguatkuasa sebagai alat untuk mencapai tujuan politik mereka. Jelas, pendakwaan ke atas saya adalah satu bentuk pemangsaan politik yang terancang. It is an organized political persecution,” katanya dalam sidang akhbar, di sini, hari ini.
Tambah Muhyiddin, tidak ada satu sen wang rakyat masuk ke poketnya sepanjang beliau menjadi Perdana Menteri.
Terdahulu, mahkamah membenarkan Muhyiddin diikat jamin RM2 juta bagi kesemua pertuduhan berserta syarat tambahan pasport diserahkan kepada mahkamah sehingga kes selesai.
Tarikh 26 Mei ini ditetapkan sebutan semula kes.
Dalam prosiding hari ini pendakwaan diwakili antaranya Timbalan Pendakwa Raya Datuk Wan, Shaharuddin Wan Ladin dan Ahmad Akram Gharib manakala Muhyiddin diwakili peguam-peguam antaranya Datuk K. Kumaraendran dan Rosli Dahlan.
Semasa prosiding turut hadir, Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainuddin dan Naib Presiden Bersatu, Datuk Dr. Radzi Jidin dan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali. – KOSMO! ONLINE