PENGLIBATAN dalam acara kesenian seperti teater dan tarian sejak di bangku sekolah memberikan pengalaman awal buat Mayumi Kasuga berada dalam industri hiburan.
Bukan itu sahaja, dengan bakat yang dimiliki, Mayumi berjaya melakukan persembahan di hadapan Sultan Johor dan turut berkecimpung dalam dunia lakonan.
Berbekalkan bakat dan semangat setinggi Gunung Fuji, Mayumi Kasuga akhirnya melancarkan sebuah single pop hasil air tangannya sendiri yang berjudul Satu.
Akuinya, sebelum benar-benar menapak dalam industri seni, dia sempat terjun ke bidang perniagaan dengan mengusahakan Ole-Ole Malaysia yang menempatkan produk-produk hasil usahawan tempatan yang diiktiraf oleh Tourism Malaysia sebagai pusat sehenti produk pelancongan.
“Selain bidang seni, saya sememangnya minat berniaga dan pelbagai jenis perniagaan telah saya ceburi sebelum ini.
“Namun, cita-cita saya untuk bergelar penyanyi masih lagi menebal sehinggalah pandemik Covid-19 melanda dunia sehingga tercetusnya idea menghasilkan single ini.
“Ketika pandemik, ramai orang berdepan dengan kepayahan dalam kehidupan. Banyak yang saya pelajari sehingga terdetik idea untuk menghasilkan lagu Satu yang mempunyai maksud tersirat dan dapat menyebarkan energi positif buat semua,” kata wanita berdarah campuran Jepun-Korea itu.
Mayumi membawakan kisah cinta terhadap Tuhan, keluarga dan sahabat yang menyatu erat hasil gabungan komposer hebat iaitu Mingaling, Yuka Kharisma, Imgkay, Madebyartin, Amzar Sabri dan Fhan.
“Saya ingin sebuah lagu yang membawa erti perpaduan dalam kemanusiaan setelah melalui fasa yang mencabar dalam hidup.
“Kalau pendengar amati, bait-bait liriknya bukanlah kisah percintaan antara lelaki dan perempuan kerana lebih dari itu.
“Muzik mempunyai kuasa dalam mengeratkan kita semua kerana bahasa muzik itu adalah universal.
“Setiap pendengar boleh merasai impak yang positif jika kena pada lagunya,” ujarnya.
Single bernuansa pop balada separa rancak tersebut turut ditambah dengan elemen hip-hop oleh dua artis muda iaitu Fhan dan Amzar Sabri yang menyuntik elemen moden segar.
Jepun
Lebih menarik, terdapat juga elemen muzik tradisional Jepun dan Melayu yang diterapkan dalam Satu.
Tambahnya lagi, proses penghasilan lagu berkenaan memakan masa lebih kurang satu bulan untuk disiapkan berserta rakaman video muzik.
“Hampir sebulan masa diambil untuk menghasilkan lagu ini dengan proses rakamannya berserta video muzik yang mengambil masa sehari.
“Menariknya dalam video muzik Satu, saya melakonkan watak seorang geisha yang melalui beberapa era dalam kehidupan, dari zaman retro hingga masa kini,” ujarnya.
Sebagai pendatang baharu dalam industri, Mayumi berharap orang ramai dapat menerima kehadirannya di persada industri dengan buah tangan pertamanya.
“Saya berharap agar semua pendengar dapat menerima karya istimewa ini dan cuba hayati muzik yang saya bawakan selain memahami maksud.
“Fahami juga mesej positif yang cuba disampaikan dan jangan lupa untuk terus menyokong saya,” tuturnya.
Satu boleh dimuat turun dalam iTunes dan boleh didengari pada bila-bila masa melalui aplikasi penstriman atas talian seperti Joox, KKBox, Spotify, Deezer, Apple Music dan YouTube Music.
Sementara video muzik rasmi boleh ditonton secara eksklusif dalam saluran YouTube Warner Music Malaysia.