fbpx

Lautan dunia dicemari 171 trilion sisa plastik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR fail 3 Julai 2014 menunjukkan seorang aktivis mengutip sampah plastik di dalam air di Teluk Manila. -- AFP

WASHINGTON – Satu kajian baharu mendapati lautan seluruh dunia dicemari sisa yang terdiri daripada 171 trilion zarah plastik seberat 2.3 juta tan sekiranya dikumpulkan, lapor stesen penyiaran CNN kelmarin.

Sepasukan saintis antarabangsa menganalisis data global itu yang dikumpul antara tahun 1979 hingga 2019, melibatkan hampir 12,000 titik persampelan di Lautan Atlantik, Lautan Pasifik, Lautan Hindi serta Laut Mediterranean.

Mereka mendapati terdapat peningkatan pantas dan tidak pernah berlaku dalam pencemaran plastik di lautan sejak 2005, demikian menurut kajian berkenaan yang diterbitkan dalam jurnal PLOS ONE.

“Pencemaran plastik adalah lebih tinggi berbanding anggaran sebelum ini,” kata Pengarah Kajian dan Inovasi Institut 5 Gyres merangkap penulis kajian berkenaan, Lisa Erdle.

Menurut Erdle, tanpa tindakan segera oleh kerajaan-kerajaan di seluruh dunia, kadar di mana sisa plastik memasuki lautan dijangka meningkat 2.6 kali ganda antara sekarang hingga tahun 2040.

Penghasilan plastik meningkat sejak beberapa dekad lalu terutamanya plastik sekali guna, manakala hanya sekitar sembilan peratus plastik global dikitar semula setiap tahun.

Sebahagian besar sisa plastik masuk ke dalam laut dengan kebanyakannya datang dari daratan dan hanyut ke sungai oleh hujan, angin, limpahan longkang akibat ribut serta aktiviti pembuangan sampah.

“Apabila plastik masuk ke dalam laut, ia tidak akan terurai, sebaliknya pecah kepada beberapa kepingan kecil.

“Partikel ini tidak mudah untuk dibersihkan dan ia kekal berada di dalam laut,” jelas Erdle.

Kesan daripada keadaan itu, hidupan marin akan mati akibat tersangkut pada plastik atau memakan bahan tersebut yang disangka makanan.

Plastik juga boleh melarutkan bahan kimia ke dalam air dan ia bukan sekadar kemusnahan alam sekitar, bahkan boleh mencetuskan masalah iklim yang amat besar, tambahnya. – Agensi

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI