KUANTAN – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pahang berjaya menumpaskan aktiviti penyelewengan minyak diesel bersubsidi selepas merampas 106,000 liter minyak diesel dalam satu serbuan di sebuah stor penyimpanan tidak berlesen di Tanah Putih Baru di sini.
Rampasan minyak diesel itu merupakan terbesar direkodkan KPDN Pahang tahun ini yang membabitkan keseluruhan rampasan bernilai RM266,900.
Ketua Penguatkuasa KPDN Pahang, Muhamad Radzi Johari berkata, serbuan dilakukan sepasukan 10 anggota penguatkuasa KPDN Pahang pada 8 Mac lalu berdasarkan hasil risikan yang dilakukan selama seminggu di lokasi terbabit.
“Hasil pemeriksaan lanjut ke atas keseluruhan lokasi telah menemukan enam buah ‘skid tank’ atau tangki penyimpanan yang berisi minyak diesel dianggarkan keseluruhannya berjumlah 106,000 liter.
“Turut ditemui beberapa peralatan yang digunakan untuk memindahkan minyak serta beberapa dokumen berkaitan yang mana keseluruhan nilai rampasan dianggarkan berjumlah RM266,900,” katanya pada sidang akhbar di Tanah Putih Baru, di sini, hari ini.
Menurutnya, kes tersebut disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan (AKB) 1961 dan siasatan giat dilakukan daripada segenap aspek.
Beliau berkata, pihaknya giat mengenal pasti individu atau syarikat yang terlibat dalam aktiviti itu serta rantaian pengedaran minyak diesel tersebut termasuk sumber minyak diesel itu diperolehi dan diedarkan.
Sementara itu, beliau berkata, sepanjang lapan hari pelaksanaan Ops Tiris yang bermula pada 1 Mac lalu, KPDN Pahang telah melakukan 157 pemeriksaan di semua peringkat pemborong dan peruncit.
Ujarnya, daripada pemeriksaan tersebut sebanyak tiga kes telah dibuka dengan nilai rampasan sebanyak RM308,012.90 yang mana selain di Kuantan, dua kes lagi yang dikesan adalah di Raub. – KOSMO! ONLINE