DI sebalik rungutan kos sara hidup semakin membebankan sehingga kementerian melancarkan program Menu Rahmah, trend gaya hidup rakyat Malaysia dilihat tidak banyak berubah termasuklah dalam membuat persiapan meraikan Aidilfitri.
Menjelang Ramadan yang akan disambut dua minggu lagi, rata-rata kedai jahit tidak lagi menerima tempahan berikutan sudah penuh dengan pelanggan yang menghantar kain masing-masing untuk dijadikan pakaian pada hari raya.
Kos untuk menempah pakaian di kedai jahit biasa pula bukanlah murah, malah bagi sepasang kurung biasa kini harganya mencecah RM70, manakala kurung moden pula RM90 ke atas tidak termasuk upah bagi jahitan manik atau sulaman.
Harga upah baju Melayu cekak musang dan Melayu Johor pula sekitar RM100. Bagi tempahan butik, harga sepasang kurung moden bermula RM300.
Secara tidak langsung, dari sudut pandangan lain, kemampuan menempah pakaian itu dilihat bercanggah dengan keluhan ‘ikat perut’ yang dihujahkan ramai pada ketika ini kerana ia bukanlah satu keperluan asas.
Pengasas Bersama Persatuan Pereka Bumiputera Malaysia Bon Zainal berkata, dalam keadaan ekonomi yang masih perlahan, pengguna perlu bijak merancang kewangan dan penjimatan boleh dilakukan sekiranya mempunyai kemahiran asas menjahit.
Menurut beliau, salah satu kaedah yang boleh digunakan adalah meletakkan perincian manik atau lace pada busana sedia ada untuk memberikan gaya baharu mengikut cita rasa masing-masing.
“Kalau tahu asas menjahit seperti sembat, jelujur, boleh sahaja olahkan baju-baju lama ini dengan menambahkan manik, labuci atau butang.
“Baju lama yang labuh atau panjang mungkin boleh dipotong dijadikan potongan pendek sedikit atau sebagainya, jika ada kemahiran ini memang boleh jimatkan kos terutama dalam keadaan ekonomi sekarang,” katanya kepada Kosmo!.
Ujar beliau, walau bagaimanapun rata-rata pereka fesyen dan kedai jahit di negara ini mula menerima tempahan baju raya sejak Disember lalu lagi.
“Sebenarnya hujung tahun sudah mula masuk tempahan, memang lumrah ramai yang sanggup berhabis bagi menyambut Hari Raya Aidilfitri, mungkin juga kerana mereka telah mula berkerja dan mempunyai kemampuan selepas dua tahun terkurung disebabkan pandemik Covid-19.
“Namun, apa yang paling penting elakkan menjadi ‘biar papa asal bergaya’, janganlah sampai menanggung hutang kad kredit selepas seronok meraikan hari raya,” katanya.
Tinjauan penulis di beberapa kedai jahit desa termasuk di Klebang, Batu Berendam, Peringgit di Melaka dan di Muar, Johor mendapati, kesemua kedai enggan mengambil tempahan kerana perlu menyiapkan lebih 20 pasang baju.
Dalam pada itu, Bon Zainal memberitahu, setiap individu perlu tahu dan mengakui kemampuan masing-masing dalam berbelanja untuk pakaian.
“Fesyen ini membuatkan kita rasa gembira, bukan memenuhi kehendak sosial sehingga membebankan diri dan akhirnya menjadi tertekan.
“Namun, perkara ini bukan sahaja terpakai bagi cara kita berfesyen, tetapi juga gaya hidup lain termasuklah aktiviti melancong atau berhibur.
“Ramai yang merungut kos sara hidup tinggi, tetapi sanggup berhabis, apa sebenarnya kehendak mereka? Apakah yang dimaksudkan dengan ‘terpaksa’ berjimat,” katanya.