fbpx

Syarikat e-hailing ada 5,000 kereta tetapi 402 berlesen diserbu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
JPJ menyerbu sebuah syarikat EHO di Kuantan, Pahang kerana beroperasi tanpa EVP yang sah.

PUTRAJAYA – Sebuah syarikat pengendali perniagaan pengantaraan (EHO) yang mengendalikan aplikasi MAXIM diserbu Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) kerana beroperasi tanpa permit kenderaan e-Hailing (EVP) yang sah.

JPJ menerusi kenyataan akhbar hari ini berkata, risikan dan pemantauan selama 14 hari menerusi Ops e-Hailing itu telah menyerbu syarikat EHO itu yang beroperasi di Kuantan, Pahang.

Menurutnya, syarikat itu melanggar Seksyen 12A(5) Akta Pengangkutan Awam Darat (APAD) 2010 kerana membenarkan kenderaan di bawah kendalian syarikat tersebut beroperasi tanpa EVP sah di Putrajaya dan Pahang.

“Siasatan awal oleh Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) mendapati, daripada 5,000 buah kenderaan aktif yang menggunakan aplikasi MAXIM, hanya 402 buah kenderaan sahaja mempunyai EVP.

“Dalam operasi itu, beberapa peralatan dan dokumen syarikat seperti komputer, papan iklan, banner dan bunting telah dirampas dan disita untuk tujuan siasatan di bawah Seksyen 222 APAD 2010.

“Tindakan penguatkuasaan ini selaras Seksyen 12A(5) APAD 2010 dan boleh disabitkan mana-mana kesalahan di bawah Seksyen 12A(9) APAD 2010 yang memperuntukkan denda tidak kurang RM1,000 dan tidak melebihi RM500,000 atau dipenjara tidak melebihi dua tahun,” katanya.

Katanya, JPJ akan terus memantau perkhidmatan EHO secara berterusan bagi mengesan mana-mana syarikat mengendalikan perniagaan pengantara tanpa lesen dan kenderaan-kenderaan perkhidmatan e-Hailing tidak mematuhi peraturan dan undang-undang.

“Kami ingin menasihatkan mana-mana syarikat yang mahu menjalankan perniagaan pengantara dan penyediaan sistem EHO kepada pemandu-pemandu kenderaan eHailing supaya berdaftar serta dilesenkan di bawah APAD dan LPKP.

“Penumpang e-Hailing juga dinasihatkan untuk memastikan aplikasi tersebut adalah berdaftar serta dilesenkan melalui semakan di portal APAD dan LPKP supaya penumpang mendapat jaminan perlindungan insurans jika terbabit kemalangan,” katanya.- KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI