WASHINGTON – Seorang jurugambar di Amerika Syarikat (AS) merakam detik luar biasa seekor burung helang kecil menyerang burung undan yang terbang mendekati sarangnya, lapor portal berita MailOnline kelmarin.
Kejadian itu dirakam oleh Decker Nomura, 54, di pantai Torrey Pines di bandar San Diego, negeri California.
“Ketika burung undan gergasi mendekati sarang burung helang, seekor induk helang bersiap sedia untuk mempertahankan sarangnya walaupun undan itu tidak membahayakan sarang atau anak burung di dalamnya.
“Saya menganggap diri saya bertuah untuk melihat perkara ini berlaku dalam masa yang singkat. Helang akan meronda di kawasan ia bersarang dan akan menyerang apabila merasakan wujud ancaman kepada anaknya.
“Saya suka apabila helang yang lebih kecil tidak gentar menentang undang yang bersaiz lebih besar dan akan mempertahankan anak mereka tidak kira akibatnya,” kata Nomura.
Helang peregrine adalah sejenis burung yang jarang membiak di San Diego dengan populasinya hanya kira-kira 15 pasang, demikian menurut Jabatan Pertanian AS.
Jumlah helang peregrine merosot selepas tahun 1940-an akibat penggunaan racun perosak secara meluas seperti DDT.
Spesies itu kekal dilindungi di bawah Akta Perjanjian Burung Migras. Helang peregrine ditemui di semua benua kecuali Antartika dan di banyak pulau lautan. – Agensi