MENINGGALKAN kerjaya dalam bidang perundangan yang ditimba sewaktu berada di universiti bukanlah satu kekesalan apatah kerugian buat wanita berusia 42 tahun ini.
Bagi Dzuleira Abu Bakar, walaupun keputusannya itu ibarat memakan diri sendiri kerana bagai sengaja melepaskan peluang untuk bergelar peguam, namun itu bukan pengakhiran buatnya.
Bagi wanita yang dibesarkan di Negeri Bawah Bayu, Sabah dan Pulau Pinang ini, walaupun melanjutkan pengajian dalam jurusan undang-undang, namun bekerja sebagai peguam bukanlah pilihan hatinya.
“Selepas tamat pengajian Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang di Universiti Teknologi Mara, saya rasakan menjadi seorang peguam bukanlah cita-cita dan impian sebenar saya.
“Saya rasa langsung tiada kebebasan dan terpaksa bergelumang dengan kertas kerja berkaitan perundangan serta kes saban hari. Jadi saya ambil keputusan untuk cari kerja lain,” katanya membuka bicara bersama Aura.
Ceritanya, ketika itu, semua rakan sekelas dan seperjuangannya berlumba-lumba memohon kerja di syarikat guaman, namun tidak bagi dirinya.
Dzuleira mengakui, pada ketika itu, dirinya seakan-akan memberontak dan mahu lakukan sesuatu yang berbeza daripada apa yang diperolehinya sepanjang empat tahun di menara gading.
“Jadi, entah bagaimana, saya secara rawak minta sahaja apa sekalipun jawatan yang diiklankan di akhbar.
“Mungkin nak dikatakan rezeki dan takdir, saya diterima bekerja di sebuah syarikat berkaitan teknologi yang terlibat secara langsung dengan pembangunan teknologi satelit dan astraunatik negara.
“Lebih membanggakan dan mengejutkan, tidak sampai dua bulan bekerja, saya diminta majikan untuk turut serta dan hadir dalam sebuah mesyuarat di Amerika Syarikat ketika baru menginjak usia 24 tahun,” ujarnya.
Kata Dzuleira, bermula dari saat itulah cintanya terhadap sains dan teknologi mula berbibit dan kekal hingga ke saat ini.
Akuinya lagi, dia juga sebenarnya tidak pernah terfikir bakal terjerumus dalam bidang sains dan teknologi sekali gus mencabar diri melakukan sesuatu luar daripada kebiasaan.
“Jujur dikatakan, kerjaya yang saya ceburi kini memberi saya peluang untuk mengenali dunia sains serta teknologi dengan lebih mendalam.
“Walaupun langsung tiada latar belakang dalam bidang sains, tetapi itu bukan batu penghalang untuk kita tidak mampu buktikan dan menggapainya,” katanya.
Berbekalkan pengalaman hampir dua dekad dalam bidang diceburi meliputi pelbagai syarikat ternama dan posisi serta pencapaian, 13 April 2021 menjadi tarikh yang pasti tidak boleh dilupakannya.
Hasil dedikasi dan perkhidmatan cemerlang selain wibawa dan karisma yang dimiliki, Dzuleira diberi tanggungjawab sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Malaysian Research Accelerator for Technology and Innovation (MRANTI).
MRANTI dahulunya dikenali sebagai Technology Park Malaysia (TPM) yang merupakan sebuah pusat penyelidikan dan pembangunan ternama negara yang diwujudkan di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi Malaysia.
Akui Dzuleira lagi, seiring dengan jawatan dan posisi yang digalas, begitu jugalah dengan kepercayaan dan tanggungjawab yang perlu dipikul dirinya sejak hampir dua tahun ini.
“Tidak dinafikan, menjadi keutamaan dan tanggungjawab saya untuk mengenal pasti kekuatan dan kelemahan di dalam organisasi yang dipimpin.
“Keutamaan saya termasuk mengubah budaya, menjadikan MRANTI relevan dengan pihak berkepentingan bukan sahaja dalaman, tetapi luaran organisasi.
“Jika ditanya fokus saya sebagai CEO adalah peremajaan dan pemulihan Taman MRANTI sekali gus mengubah keadaannya kepada apa yang sepatutnya sekali gus membolehkan pembangunan skala penuh inovasi dan teknologi,” ujarnya.
Pada masa sama, menjadi tanggungjawab Dzuleira untuk memacu penyelidikan berorientasikan ekonomi melalui pelbagai disiplin pendekatan dengan peningkatan kerjasama merentasi sempadan tradisional dan organisasi.
“Kami berada di sini untuk menyediakan kapasiti fokus perniagaan dan keupayaan untuk mempercepatkan penyelidikan dan pengkomersialan teknologi.
“Matlamat MRANTI itu sendiri jelas untuk membawa ekosistem jauh lebih ke hadapan. Kami menghubungkan ahli akademik, kerajaan, badan korporat dan penyelidik serta masyarakat untuk menjayakannya,” katanya.
Ditanya mengenai pandangannya buat wanita di luar sana yang turut sama mahu menceburi bidang sains dan teknologi sepertinya, Dzuleira amat mengalu-alukan penglibatan mereka.
“Wanita memainkan peranan penting dalam komuniti sains dan teknologi serta penyertaan mereka harus diperkasakan.
“Walau bagaimanapun, berat sebelah dan ketidakadilan yang telah lama wujud selain stereotaip jantina mendorong wanita menjauhi bidang berkaitan sains dalam kerjaya mereka,” katanya yang berpegang kepada prinsip hidup percaya kepada diri sendiri sebelum membantu orang lain.