SEREMBAN – Berat ujian yang ditanggung seorang lelaki apabila isteri yang menjadi penyeri hidup kini terlantar akibat strok selain perlu menjaga seorang anak kategori orang kelainan upaya (OKU) fizikal.
Ishak Abd. Rahim, 43, berkata, isterinya, Norfarahida Zainal, 43, tidak mampu bergerak selain hilang ingatan selepas pembuluh darah di kepalanya pecah disebabkan tekanan darah tinggi pada Mei 2022.
Anak kedua pasangan itu, Balqis Najwa, 19, lumpuh sejak kecil dan mengalami ketumbuhan dalam otak.
“Kejadian berlaku secara tiba-tiba, isteri saya rebah ketika mahu keluar bekerja. Saya sangka tidak serius kerana dia pernah mengadu pening. Saya lihat isteri terbaring sambil menarik rambut seperti menahan sakit.
“Isteri saya dikejarkan ke Hospital Tuanku Ja’afar untuk mendapatkan rawatan dan mengalami strok disebabkan pendarahan di kepala serta gangguan otak,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Jasmin Indah, Senawang di sini baru-baru ini.
Dalam nada sebak, Ishak berkata, doktor memaklumkan agak sukar untuk isterinya kembali normal dan peratusan sembuh 40 peratus, namun dia masih mengharapkan keajaiban.
“Kini isteri hanya bergantung dengan susu khas yang diambil melalui tiub yang dipasang di hidung dan lehernya ditebuk untuk pernafasan. Harga susu khas juga agak mahal RM75 setin, dalam keadaan sekarang saya tidak mampu sebab sudah tidak bekerja, manakala simpanan pula sudah habis,” katanya.
Sebagai ketua keluarga, Ishak tidak mempunyai sumber pendapatan selepas berhenti kerja di sebuah kilang di Senawang untuk memberi perhatian kepada isteri dan anak istimewanya.
Disebabkan tertekan, Ishak pernah meminta anak bongsunya berusia 17 tahun berhenti sekolah untuk menjaga ibu dan kakaknya yang sakit supaya dia boleh keluar bekerja.
“Tetapi hati saya berat sebab keputusan peperiksaannya agak baik. Jika ditawarkan kerja dari rumah saya sanggup asalkan dapat menjaga mereka,” katanya.
Orang ramai yang ingin membantu boleh menghubungi Ishak di talian 016-7682114 atau menyalurkan sumbangan ke akaun Bank Simpanan Nasional bernombor 05001-41-100048956.