JERANTUT – Kewujudan sekumpulan babi ‘jinak’ di sekitar Bandar Baru Inderapura di sini, menarik perhatian penduduk dan orang ramai sehingga ada yang bertindak memberi makanan kepada haiwan berkenaan.
Seorang penduduk, Salim Ikmal Isa, 53, yang kerap melalui kawasan itu berkata, kehadiran kawanan haiwan liar itu dikesan sejak beberapa bulan lalu khususnya pada waktu tengah hari dan petang.
“Mungkin babi-babi ini datang dari hutan atas bukit berdekatan yang tiada makanan dan tidak ada tempat lain lagi untuk cari makan sehingga turun merayau di hadapan kedai makanan ini.
“Babi-babi ini berbeza apabila ia seolah-olah jinak dan tidak lari apabila didekati, malah tidak menyerang manusia,” katanya semalam.
Salim Ikmal berkata, kawanan babi lebih empat ekor itu mencari sisa makanan yang dibuang selain ada penduduk yang memberikan makanan.
Seorang pekerja swasta, Daniel Sim, 24, berkata, dia bimbang kawanan haiwan liar itu akan mengganggu keselesaan orang awam yang melalui kawasan itu dengan melintas jalan atau mendekati premis makanan.
“Saya lihat babi ini tidak takut dengan orang ramai yang melalui kawasan ini dan tidak peduli walaupun dijerit sekuatnya oleh mereka yang lalu-lalang, babi itu tetap mencari sisa makanan.
“Kita berharap haiwan liar ini tidak masuk ke tengah bandar memandangkan terdapat banyak premis makanan yang boleh menimbulkan ketidakselesaan orang ramai,” ujarnya.
Seorang penduduk, Mona Abdullah, 40, pula berkata, dia tidak terkejut haiwan liar seperti babi boleh masuk ke bandar kerana kawasan haiwan itu mencari makanan sudah tiada susulan banyak projek pembangunan perumahan.
Ujarnya, usaha menghalau haiwan liar itu ke habitat asal perlu dilakukan oleh pihak berwajib bagi memastikan Bandar Baru Inderapura dan bandar Jerantut bersih dan ceria, lebih-lebih lagi ia menjadi lokasi transit pelancong ke Taman Negara Kuala Tahan.