SHAH ALAM – Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) akan membangunkan 200 outlet koperasi pembekal bahan binaan (Coop Hardware) di bawah satu konsortium menjelang 2025.
Presiden Angkasa, Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah berkata, sasaran itu selaras dengan usaha pihaknya dalam membantu menawarkan bahan asas pembinaan perumahan dengan harga lebih murah sehingga 15 peratus berbanding pasaran sedia ada.
Katanya, sebanyak 20 outlet Coop Hardware berdaftar telah beroperasi di seluruh negara setakat ini.
“Angkasa menjadi platform kepada koperasi itu membeli bahan secara pukal dengan pembekal luar negara sekali gus dapat menjualnya dengan harga murah .
“Kami menyasarkan lebih banyak outlet akan dibangunkan menerusi konsortium khas dalam tempoh dua tahun akan datang,” katanya selepas melancarkan Projek Perumahan Mampu Milik Tulip di Denai Alam di sini, hari ini.
Jelas Abdul Fattah, Coop Hardware turut membantu menyediakan rumah atau permis perniagaan kepada ahli koperasi pada harga lebih mampu milik. -KOSMO!ONLINE