KUALA SELANGOR – Kegembiraan terpancar pada wajah 100 kanak-kanak apabila menerima bantuan persekolahan daripada Yayasan TZA di Kampung Pasir Tuntong di sini, hari ini.
Kesemua mereka merupakan pelajar sekolah rendah berusia tujuh hingga 12 tahun daripada golongan anak yatim dan keluarga kurang berkemampuan.
Penerima, Zaiti Zuliza Yup, 36, berkata, sumbangan berupa beg dan peralatan sekolah itu jelas membantu meringankan beban kehidupan keluarganya.
“Umum mengetahui kos sara hidup kini semakin meningkat dan menjejaskan golongan kurang berkemampuan.
“Justeru, bantuan seumpama ini amat diperlukan ibu bapa menjelang sesi persekolahan yang bakal dibuka dalam tempoh seminggu lagi,” kata ibu kepada empat anak itu ketika ditemui pada program Back To School itu petang tadi.
Terdahulu, bantuan termasuk sejumlah wang tunai itu diserahkan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.
Bagi kakitangan kerajaan, Tengku Mohd Fahmi Tengku Nasaruddin, 37, dia sekeluarga menghargai sumbangan seumpama itu yang kali pertama diterimanya tahun ini.
“Bantuan itu membantu persiapan sekolah anak perempuan saya yang berusia tujuh tahun.
“Saya berharap sumbangan itu dapat diteruskan kepada golong sasaran yang memerlukan perhatian semua pihak,” ujarnya.
Sementara itu, Tengku Zafrul berkata, kampung berkenaan merupakan destinasi kedua beliau ke Kuala Selangor selepas memegang jawatan menteri tersebut. – KOSMO! ONLINE