PUTRAJAYA- Bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dilaporkan tiba di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), di sini, kira-kira pukul 11.15 pagi.
Ketibaan beliau dengan menaiki kereta jenis Toyota Alphard turut disambut ratusan penyokong Perikatan Nasional (PN) yang mula berkumpul di luar Ibu Pejabat SPRM seawal pukul 9 pagi tadi.
Difahamkan, Muhyiddin hadir di SPRM pada hari ini bagi memberi keterangan berhubung siasatan Program Jana Ekonomi Pemerkasaan Kontraktor Bumiputera Berwibawa (Jana Wibawa).
Semalam, Muhyiddin membidas kenyataan dakwaan bahawa dia telah ditahan SPRM semasa bermain golf.
“Saya ingin menjelaskan berita saya ditahan di padang golf hari ini (semalam) yang disebarkan oleh sebuah portal berita adalah palsu.
“Hari ini saya hadir ke beberapa mesyuarat berkaitan Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) Bersatu yang akan bermula Jumaat ini.
“Bagaimanapun, Khamis saya diminta ke Ibu pejabat SPRM pada pukul 11 pagi,” katanya.
Akhir bulan lalu, SPRM membekukan beberapa akaun milik parti Bersatu kerana dipercayai ada kaitan dengan siasatan dana kerajaan bernilai RM92.5 billion yang didakwa diseleweng PN ketika melaksanakan pelbagai pakej rangsangan susulan pandemik Covid-19.
Dalam pada itu, pada 18 Februari lalu, Muhyiddin turut mengesahkan telah dipanggil SPRM untuk memberi keterangan mengenai program Jana Wibawa sebagai saksi dan bukannya suspek.
Bagaimanapun, SPRM kemudian mengesahkan bekas Perdana Menteri itu adalah antara suspek yang disiasat berhubung kes berkenaan dan siasatan ke atasnya masih diteruskan. – KOSMO! ONLINE