PUTRAJAYA- Segala peruntukan kepada mangsa banjir yang disumbangkan pelbagai pihak untuk Tabung Musaadah adalah telus dan diberikan terus kepada kumpulan sasaran.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd, Na’im Mokhtar berkata, susulan itu, pihak kami memberi jaminan bahawa penderma tidak perlu risau berhubung derma mereka yang tidak kesampaian.
“Ini isu amanah dan kesemua rakan strategik kita yang turun ke lapangan juga memastikan setiap satu sen sumbangan itu tidak akan disalahgunakan,” katanya ketika merasmikan pelepasan Misi Bantuan Banjir Skuad Musaadah Madani Agensi Di Bawah Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Mohd. Na’im berkata, pihaknya amat tegas menitikberatkan isu integriti dalam urusan pengagihan setiap sumbangan kepada mangsa bencana di seluruh negara.
“Insya-Allah setakat ini saya amat berpuas hati kerana segala derma kepada Tabung Musaadah adalah selamat diterima sasaran dan kita tidak ambil satu sen pun,” katanya. – KOSMO! ONLINE