Saya menanam beberapa pokok serai dan pokok tersebut telah dijadikan teduhan anjing. Bolehkah saya gunakan serai tersebut dan macam mana caranya?
Jawapan: Majoriti ulama telah sepakat menyatakan anjing sebagai najis.
Anjing dikategorikan sebagai najis mughallazah kerana cara basuhan najis anjing lebih berat daripada najis lain.
Riwayat daripada hadis Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda:“Sucinya bekas salah seorang daripada kamu apabila seekor anjing menjilat padanya adalah dengan cara kamu membasuhnya sebanyak tujuh kali dan basuhan pertama bercampur tanah.”
Merujuk kepada mazhab Syafie, setiap inci bagi seekor anjing itu dikira sebagai najis.
Sepertimana yang dikatakan oleh Imam al-Nawawi: “Ketahuilah, tidak ada perbezaan dalam kalangan kamu antara jilatan anjing dengan selainnya, daripada anggota-anggota anjing.
“Apabila terkena kencingnya, najisnya, darahnya, peluhnya, bulunya, air liurnya atau mana-mana anggota dari anggota badannya yang bersih ketika ia sedang berada pada keadaan apa sekalipun, maka wajib membasuhnya dengan tujuh kali basuhan dan salah satu daripadanya tanah.”
Imam Khatib al-Syarbini di dalam kitabnya menyebutkan: “Dan apa yang najis daripada sesuatu yang padat atau sebahagiannya daripada binatang buruan atau selain itu, apabila ia bersentuhan dengan sesuatu daripada anjing, sama ada air liurnya, air kencingnya dan semua bahagiannya yang basah dan anggota tubuhnya yang kering jika menyentuh sesuatu yang basah, maka sucikan ia sebanyak tujuh kali (salah satunya dengan tanah).” (Lihat Mughni al-Muhtaj, jilid 1, halaman 239)
Selain itu, kaedah fiqh juga menyatakan bahawa: “Jika najis menyentuh sesuatu yang suci, sedangkan kedua-duanya kering, maka najis itu tidak memberi kesan padanya.”
Berdasarkan kaedah fiqh ini, maka dapat difahami bahawa sekiranya terdapat najis di pakaian atau di atas tanah atau selainnya dan ia kering, kemudian menyentuh sesuatu yang suci juga dalam keadaan kering, maka najis tersebut tidak akan memindahkan sifatnya kepada sesuatu yang suci itu.
Hal ini kerana najis hanya akan berpindah sekiranya terdapat sifat kelembapan sama ada pada najis atau sesuatu yang suci tersebut.
Berbalik kepada persoalan yang diajukan, sekiranya anjing tersebut berteduh di rimbunan pokok serai dalam keadaan kedua-duanya kering, maka tidak dianggap berlakunya perpindahan najis ke atas pokok serai tersebut.
Memadai sekadar membasuh dengan air mutlak sebelum menggunakannya.
Sekiranya tidak pasti atau ragu-ragu sama ada anjing atau pokok tersebut dalam keadaan basah atau kering, para ulama telah memberikan garis panduan berkenaan perkara ini.
Antaranya adalah kaedah fiqh: ‘Asal bagi satu hukum ialah mengekalkan ia sepertimana hukum sebelumnya.”
Berdasarkan kaedah ini, apabila tiada bukti yang jelas sama ada anjing atau pokok tersebut dalam keadaan basah, maka pokok itu kekal suci.
Oleh itu, memadai sekadar membasuh serai tersebut dengan air mutlak sebelum menggunakannya.