PUTRAJAYA- Kerajaan bersetuju memberikan pengurangan cukai taksiran fasa 2 di Putrajaya kepada pemilik kediaman strata (selain rumah mampu milik) sebanyak lima peratus, manakala pemilik kediaman teres ditawarkan sebanyak 20 peratus.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau mengambil maklum keluhan pemilik harta selain rumah mampu milik berhubung cukai taksiran dikenakan ke atas premis kediaman tinggi berbanding kawasan sekitarnya.
“Setelah meneliti penerangan lanjut daripada pihak berwajib, saya bersetuju agar pengurangan cukai taksiran fasa dua di Putrajaya diberikan kepada pemilik kediaman strata (selain rumah mampu milik) sebanyak lima peratus dan pemilik kediaman teres pula 20 peratus.
“Pengurangan cukai taksiran itu diberikan kepada kediaman yang siap dibina selepas 2017, yang mana potongan akan diberikan ke atas jumlah cukai taksiran yang dikenakan,” katanya dalam kenyataan di sini tadi.
Perdana Menteri berkata, ia melibatkan sejumlah hampir 2,700 unit kediaman strata dan teres siap dibina selepas 2017 yang akan mula dilaksanakan mulai 1 Julai 2023 sehingga penilaian semula oleh Perbadanan Putrajaya.
“Pengurangan ini juga selaras dengan aspirasi Malaysia Madani melalui elemen Ihsan yang seterusnya dapat dipanjangkan kepada ruang lingkup lebih luas bagi mengurangkan beban ditanggung penduduk dalam mendepani kos sara hidup khususnya golongan M40 yang memiliki kediaman strata dan teres di Putrajaya,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE