GEORGE TOWN – Seorang pekerja kontrak mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas pertuduhan cubaan membunuh dengan mendatangkan kecederaan ke atas seorang anggota polis berpangkat Lans Koperal minggu lalu.
Tertuduh, S. Ramesh, 33, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Mohammad Khalid Ab Karim.
Mengikut kertas pertuduhan, dia didakwa melakukan perbuatan cubaan membunuh dengan mendatangkan kecederaan kepada Mohamad Azril Syamil Mohamad Hanafi di sebuah rumah bernombor 10A, Lebuh Thean Teik, Timur Laut, di sini, kira-kira pukul 12.15 tengah malam, 1 Mac lalu.
Perbuatan itu didakwa di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum 10 tahun dan denda dan jika ia menyebabkan cedera hendaklah pemenjaraan yang boleh sampai 20 tahun.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Lim Jin Hong memohon agar mahkamah tidak menawarkan sebarang jaminan disebabkan kesalahan serius yang dilakukan tertuduh ke atas mangsa.
Bagaimanapun, Ramesh yang tidak diwakili peguam merayu diberi jaminan memandangkan dia hanya bekerja sebagai pekerja kontrak dengan gaji RM1,300 sebulan.
Mahkamah kemudiannya membenarkan jaminan sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin dan dengan syarat-syarat seperti tertuduh dikehendaki melapor diri setiap 1 haribulan pada setiap bulan di balai polis terdekat sehingga selesai perbicaraan
Selain itu, mahkamah juga menetapkan agar tertuduh tidak mendekati Mohamad Azril Syamil Mohamad Hanafi. Hakim juga menetapkan 11 April depan sebagai tarikh sebutan semula kes berkenaan.
Terdahulu, Kosmo! Online melaporkan seorang anggota polis berpangkat Lans Koperal cedera termasuk retak pada tempurung kepala dan luka bahagian dahi akibat ditetak suspek dengan sebilah pisau pemotong daging di kawasan Bandar Baru Air Itam. – KOSMO! ONLINE