PUTRAJAYA – Hampir lima jam berlalu namun, tiada tanda-tanda proses siasatan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap Tan Sri Muhyiddin Yassin akan berakhir.
Bagaimanapun, ada spekulasi tersebar kononnya Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu akan ‘dilepaskan’ oleh SPRM petang ini.
Namun, tiada pengesahan berkaitan perkara itu.
Sementara itu, Ketua Penerangan Bersatu Datuk Razali Idris ketika dihubungi berkata, Muhyiddin akan diambil keterangan oleh SPRM sehingga lewat petang ini.
“Jika beliau (Muhyiddin) tidak ditahan, beliau mungkin akan ke Markas PAS Taman Melewar, Gombak, Selangor untuk solat maghrib dan solat hajat,” jelasnya.
Muhyiddin hadir di Ibu Pejabat SPRM, di sini, jam 11.15 pagi tadi bagi memberi keterangan dipercayai berkaitan kes salah guna dana kerajaan Program Jana Ekonomi Pemerkasaan Kontraktor Bumiputera Berwibawa (Jana Wibawa). – KOSMO! ONLINE