KUALA TERENGGANU – Pasukan Hoki Terengganu (THT) hanya selangkah untuk mempertahankan kejuaraan Liga Hoki Malaysia (MHL) selepas membenam Nurinsafi Sporting 6-2 di Stadium Hoki Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) di sini hari ini.
Keputusan itu menyaksikan THT kekal tiga mata mengatasi pencabar terdekat, TNB dan hanya memerlukan keputusan seri pada perlawanan terakhir liga menemukan kedua-dua pasukan pada lusa.
Pakar flik Korea Selatan, Jang Jonghyun membuka tirai jaringan tuan rumah dengan meledak dua gol pantas menerusi sudut penalti pada minit kedua dan minit keempat.
Kedudukan menjadi 3-0 buat THT apabila tonggak kebangsaan, Mohd. Marhan Jalil menjaringkan gol padang pada minit keenam berpunca gerakan kapten, Mohd. Fitri Saari.
Kem tuan rumah terus ceria setelah Jonghyun mencetak gol ketiga dan keempat peribadi dalam perlawanan ini melalui pukulan sudut penalti pada minit ke-13 dan ke-19.
Ketinggalan lima gol tanpa balas, Nurinsafi Sporting menghidupkan sisa perjuangan selepas hantaran Geore Eswaran disambar Joshua Benedict (m-28) untuk gol pertama pelawat.
Begitupun, THT semakin garang dengan Faizal Saari mudah menolak masuk bola umpanan Akhimullah Anuar Esook untuk kedudukan terus berubah menjadi 6-1 pada minit ke-31.
Hasrat THT menambah jaringan tidak berhasil sebaliknya pelawat memperoleh gol kedua pada minit ke-56 menerusi jaringan Haikal Nilesh Hrsikesa dan keputusan 6-2 kekal sehingga widel penamat. – KOSMO! ONLINE.