JOHOR BAHRU – Jumlah mangsa banjir di negeri ini mencatatkan peningkatan kepada 45,058 penduduk daripada 12,746 keluarga, setakat 8 pagi hari ini.
Daripada jumlah tersebut, 35,099 mangsa membabitkan 9,835 keluarga merupakan penduduk Batu Pahat, daerah paling terjejas ketika ini.
Setiausaha Kerajaan Negeri, Tan Sri Dr. Azmi Rohani berkata, sejak tengah malam tadi, seramai 1,739 penduduk di daerah berkenaan dipindahkan ke 106 pusat pemindahan sementara (PPS).
Katanya, sehingga pagi ini, jumlah PPS yang masih aktif ialah sebanyak 186 di Segamat, Mersing, Kluang, Kota Tinggi, Batu Pahat, Muar dan Tangkak.
“Banjir termenung di beberapa daerah menyebabkan jumlah mangsa banjir tidak berubah dengan seramai 4,094 mangsa daripada 1,225 keluarga di Muar dan 2,436 mangsa daripada 766 keluarga di Tangkak.
“Turut terjejas ialah seramai 1,444 mangsa daripada 367 keluarga di Segamat diikuti Mersing (799 mangsa daripada 223 keluarga), Kota Tinggi (707 mangsa daripada 200 keluarga) dan Kluang (478 mangsa daripada 134 keluarga),” katanya dalam kenyataan hari ini.
Azmi yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) memberitahu, banjir yang melanda sejak awal bulan merekodkan enam korban banjir di empat daerah.
Katanya, ia melibatkan tiga kes di Segamat dan masing-masing satu kes di Kluang, Mersing dan Batu Pahat.- KOSMO! ONLINE