PUTRAJAYA – Mahkamah Rayuan di sini hari ini menetapkan 11 Mei bagi pendengaran rayuan pendakwaan terhadap keputusan melepas dan membebaskan lelaki berusia 22 tahun (penama kedua) atas pertuduhan membunuh 23 penghuni Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah enam tahun lalu.
Panel tiga hakim diketuai Datuk Abu Bakar Jais yang bersidang bersama Datuk Che Mohd. Ruzima Ghazali dan Datuk See Mee Chun, menetapkan tarikh itu selepas selesai mendengar hujahan daripada kedua-dua pihak.
Dalam prosiding hari ini, mahkamah juga selesai mendengar rayuan seorang lagi tertuduh yang sebelum ini disabitkan dengan hukuman penjara selama tempoh mengikut perkenan Yang di-Pertuan Agong atas pertuduhan sama.
Terdahulu, peguam Haijan Omar yang mewakili penama pertama berusia 22 tahun berhujah Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur sebelum ini tersalah arah ketika menjatuhi hukuman terbabit kerana wujud masalah hasil analisis kes itu.
“Keterangan saksi pendakwaan membuktikan ada satu keraguan munasabah berhubung dakwaan perayu (tertuduh) melompat masuk (panjat pagar) pusat tahfiz itu.
“Keterangan mengenai perayu juga tidak langsung disiasat oleh pegawai penyiasat. Saya dengan rendah diri berhujah sabitan dikenakan itu tidak selamat dan mahkamah ada kuasa untuk melihat perkara ini serta membenarkan rayuan dibuat,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya, How May Ling, berkata saksi pendakwaan ke-68 dan ke-69 adalah saksi mata kepada kejadian lompat pagar itu.
“Saksi dapat mengecam perayu dengan melihat gaya dan pakaiannya. Ketika kejadian panjat itu, ada cahaya lampu jalan. Mahkamah Tinggi memutuskan pengecaman dibuat saksi terbabit adalah selamat dan diyakini,” katanya.
Dalam kejadian 14 September 2017 itu, seramai 21 pelajar dan dua guru pusat tahfiz terkorban selepas terperangkap di tingkat tiga asrama pusat tahfiz berkenaan yang terbakar.
Sebelum ini, kedua-dua remaja yang berusia 16 tahun (ketika kejadian) didakwa bersama-sama membunuh dan menyebabkan kematian 23 penghuni pusat tahfiz berkenaan di Jalan Keramat Hujung, Kampung Datuk Keramat, Kuala Lumpur antara pukul 4.15 pagi hingga pukul 6.45 pagi, pada 14 September 2017.
Berikutan itu pertuduhan terhadap mereka dikemukakan Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, yang memperuntukkan hukuman mati.
Bagaimanapun pada 28 Januari 2020, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur melepas dan membebaskan salah seorang daripada mereka yang juga tertuduh kedua dalam kes itu tanpa dipanggil membela diri terhadap pertuduhan itu. -KOSMO! ONLINE.