PUTRAJAYA – Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Tan Sri Muhyiddin Yassin, dijangka akan menghadapi enam pertuduhan membabitkan empat salah guna kuasa dan dua kesalahan pengubahan wang haram di Mahkamah Sesyen di sini esok.
Bagi kesemua pertuduhan itu, pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencengahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan Subseksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 (AMLATFPUAA).
Sementara itu satu sumber ketika dihubungi pemberita mengesahkan perkara berkenaan.
Terdahulu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, mengesahkan Muhyiddin yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) dan Ahli Parlimen Pagoh didakwa di mahkamah pagi esok.
Pendakwaan dipercayai berkaitan kes salah guna dana awam program Jana Ekonomi Pemerkasaan Kontraktor Bumiputera Berwibawa (Jana Wibawa).
Jana Wibawa dilaksanakan ketika pandemik Covid -19 dan ia adalah kesinambungan kepada Program Pembangunan Kontraktor Binaan Bumiputera Berwibawa yang dimulakan pada 1993.
Pelaksanaannya diluluskan Jemaah Menteri pada 13 November 2020 ketika kerajaan ditadbir PN yang diterajui Muhyiddin.
Terdahulu pada 18 Februari lalu, Muhyiddin mengesahkan dipanggil SPRM untuk memberi keterangan mengenai Jana Wibawa sebagai saksi dan bukannya suspek.
Bagaimanapun, sehari kemudian SPRM mengesahkan bekas Perdana Menteri itu antara suspek yang disiasat berhubung kes berkenaan dan siasatan ke atasnya masih diteruskan.
Kemudian pada 20 Februari, SPRM memaklumkan seorang pemimpin kanan sebuah parti politik berstatus Ahli Parlimen dan seorang Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) sebuah syarikat, ditahan berhubung kes Jana Wibawa.
Selang sehari, bekas Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan, didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas pertuduhan meminta dan menerima rasuah berjumlah RM6.9 juta membabitkan projek Jana Wibawa bernilai RM232 juta pada tahun lalu. Bagaimanapun, beliau mengaku tidak bersalah.
Pada hari sama, Timbalan Ketua Bahagian BERSATU Segambut, Adam Radlan Adam Muhammad, dihadapkan di mahkamah sama atas dua pertuduhan termasuk menerima rasuah RM500,000 membabitkan projek Jana Wibawa.
Dia sekali lagi didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam pada 22 Februari atas kesalahan menerima rasuah berjumlah RM4.1 juta berkaitan projek sama, disusuli pendakwaan kali ketiga pada 28 Februari berhubung projek Jana Wibawa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, atas pertuduhan meminta rasuah RM2 juta. – KOSMO! ONLINE.