KUALA LUMPUR – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) memfailkan permohonan semakan kehakiman bagi mencabar keputusan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang membekukan akaun banknya bagi tujuan siasatan.
Permohonan itu difailkan peguam Datuk Muhammad Suhaimi Yahya dan Tan Sri Muhyiddin Yassin bagi pihak parti di Mahkamah Tinggi di sini semalam menerusi Tetuan Chetan Jethwani & Co.
Dalam permohonan itu, pemohon menamakan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki dan 19 individu lain selaku responden pertama hingga ke-20.
Berdasarkan permohonan itu, parti itu mendakwa keputusan membekukan akaun bank itu dilakukan dengan niat jahat selain suruhanjaya itu menyalahgunakan kuasa mereka dengan menjalankan pendakwaan politik terpilih terhadap kepimpinan Bersatu Perikatan Nasional (PN) atau Muhyiddin.
Mereka juga memohon pengisytiharan mahkamah terhadap SPRM bahawa badan itu tidak boleh mengikut arahan pemimpin parti pemerintah yang berada dalam kerajaan atau mengikut arahan perdana menteri atau timbalan perdana menteri.
Ia yang mana meminta pegawai SPRM memulakan siasatan menyebabkan keluarnya perintah pembekuan yang didakwa salah.
Sementara itu, berdasarkan dokumen mahkamah, Muhyiddin memohon perintah interim bagi membolehkan beliau bergerak bebas dan melakukan perjalanan ke luar negara tanpa sekatan.
Dijadualkan, presiden Bersatu itu akan berangkat ke London pada 14 dan 15 April ini sebagai penceramah ucaptama persidangan tahunan pertama Global Council for Political Renewal (GCPR).
Ini kerana menurut permohonan itu, imigresen baru-baru ini mengenakan larangan perjalanan ke atas Muhyiddin ‘secara tidak sah tanpa sebarang alasan yang munasabah’ dan tanpa diserahkan notis rasmi. – KOSMO! ONLINE