PETALING JAYA – Penyanyi Aisha Retno berlapang dada apabila karier muziknya dikatakan ‘lambat panas’ meskipun dikurniakan bakat seni yang besar.
Aisha atau nama sebenarnya, Sharifah Aisha Retno Sayed Sipulijam berkata, kerjaya seninya berjalan seperti biasa biarpun tidak semegah panyanyi-penyanyi lain.
Katanya, dia percaya kepada rezeki dan menjadikan Aina Abdul sebagai antara inspirasinya untuk terus mewarnai persada seni tanah air.
“Saya selalu berpegang kepada konsep ‘go with the flow’. Apa yang berlaku, pasti akan berlaku dan jangan berhenti buat muzik. Sentiasa bersyukur.
“Macam apa yang jadi kepada Aina Abdul dan pemuzik-pemuzik lain. Betul, kejayaan itu akan mengambil masa.
“Saya percaya, kalau kita buang sifat negatif dan selalu pandang ke hadapan, insya-Allah rezeki itu akan datang,” katanya kepada Kosmo! Online pada majlis pelancaran single terbaharu duet bersama Aziz Harun berjudul Jarak, semalam.
Dalam pada itu, mengulas tentang kolaborasi bersama Aziz dalam single Jarak, Aisha memaklumkan, mereka sudah lama berkenalan dan tidak menolak akan timbul gosip percintaan selepas lagu berkenaan dilancarkan kepada umum.
“Kami bersedia untuk hadapi apa sahaja yang akan datang dan terima perkara tersebut (gosip bercinta) secara profesional sebagai salah satu motivasi kerjaya kami.
“Peminat sekarang sangat menyokong dan takkan komen yang tidak baik serta memandang gosip hanya sekadar gosip.
“Saya berharap kerjasama ini tidak terhenti di sini sahaja sebaliknya akan ada projek kolaborasi antara kami lagi selepas ini,” kata Aisha yang berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Ekonomi dari Universiti Malaya (UM). – KOSMO! ONLINE