fbpx

Konsert Samsons di KL inspirasi Coldplay

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MENAMPILKAN dua ahli baharu, Samsons tetap yakin kehadiran mereka di Kuala Lumpur dengan konsert pada April depan mampu menggamit kenangan peminat. Foto - FAIZ ALIF AHMAD ZUBIR

KUALA LUMPUR – Istimewa buat penggemar setia Samsons sebagai tanda penghargaan meraikan sambutan ulang tahun ke-20, kumpulan popular Indonesia itu akan bertemu peminat di Malaysia pada 29 April depan menerusi penganjuran Samsons 20th Anniversary Live Concert in Malaysia.

Menariknya, menerusi persembahan yang akan diadakan di Zepp Kuala Lumpur itu nanti, Samsons akan membawakan pengalaman baharu buat peminat di Malaysia sempena dua dekad menapak dalam industri seni.

Menurut anggota asal Samsons iaitu Irfan Aulia selaku pemain gitar, mereka menjanjikan kelainan kepada peminat yang akan merasakan pengalaman berbeza seperti konsert kumpulan berpengaruh dunia, Coldplay.

“Saya terinspirasi dengan konsert daripada kumpulan Coldplay walaupun terlalu besar untuk diikuti. Namun, kami akan mengadakan konsert selama dua jam yang bukan hanya mempersembahkan muzik semata-mata.

“Apa yang pasti kami akan mencipta perkara istimewa dan memberikan pengalaman terbaik buat peminat,” katanya kepada Kosmo! Online semasa sesi bertemu media, baru-baru ini.

Tambahnya lagi, tanpa Bams yang merupakan bekas vokalis, tidak akan membuatkan Samsons terkubur sebaliknya mereka mencari pengganti untuk terus melangkah ke hadapan.

“Selepas Bams keluar dari kumpulan, kami ada vokalis nombor dua iaitu Aria Dinata dan saya rasa disebabkan jenama Samsons sendiri membuatkan kami masih di sini.

“Seterusnya, kami memperkenalkan Adrian pada 2021 sebagai ahli baharu untuk memberi peluang dia beraksi bersama.

“Bukan sahaja mempunyai bakat bagus, dia juga memiliki penampilan kacak yang sesuai dengan pasaran industri kini,” ujar penyanyi berusia 40 tahun itu.

Pengunduran Bams dari Samsons pada 2011 atas alasan mempunyai perbezaan dalam muzik kerana lebih selesa menghasilkan lagu ketuhanan atau ‘Godspell’.

Namun selaku ahli baharu, Adrian jujur mengakui barangkali kehadirannya menggantikan tempat Bams pasti tidak disenangi ramai terutama peminat di Malaysia yang lebih mengenali Samsons dengan sosok pemilik nama sebenar Bambang Reguna Bukit itu.

“Pasti ada perbandingan antara saya dengan bekas vokalis tetapi saya cuma fokus kepada kumpulan sahaja.

“Ada juga terasa dengan perbandingan cuma saya anggap perkara tersebut normal sebagai pendatang baharu dalam kumpulan.

“Saya mahu menyampaikan perkara baik dan menyertai Samsons merupakan satu pencapaian hebat buat saya,” jelas Adrian.

Kumpulan yang dianggotai empat orang ahli itu akan mengimbau memori peminat Malaysia pada April kelak dengan lagu popular mereka antaranya Kenangan Terindah, Bukan Diriku dan Luluh.

Penjualan tiket mula dibuka pada 8 Mac lalu menerusi laman sesawang www.ticket2u.com bermula dengan harga RM 298 hingga RM 428. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI