fbpx

Kes dera madrasah: Laporan perubatan ada kecederaan dan trauma

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Zuraina (kanan) bersama peguamnya, Muhammad Izzat dan aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Jan Fazal Eladi, hari ini.

SHAH ALAM – Keputusan status representasi bagi mengugurkan pertuduhan laporan palsu terhadap seorang wanita yang mendakwa anak lelaki didera sebuah madrasah ditetapkan pada 13 April di Mahkamah Majistret, di sini.

Majistret Mohamad Reza Azhar Rezali menetapkan tarikh tersebut selepas membenarkan permohonan pihak pendakwaan mendapatkan tarikh sebutan baharu.

Pada prosiding itu, Timbalan Pendakwa Raya Elyza Amira Habeeb Rahman menyatakan pihak pembelaan telah menghantar representasi berhubung pertuduhan tersebut sebelum ini.

“Arahan daripada pihak atasan adalah untuk membuat siasatan lanjut dan memohon tarikh baharu untuk keputusan representasi,” katanya.

Mengikut kertas pertuduhan, Zuraina Zamri telah membuat laporan polis palsu pada 21 Ogos lalu di Balai Polis Taman Sri Muda de ngan mendakwa sebuah premis merawat dan pemulihan Shah Alam telah mendera anak lelakinya ketika mendapatkan rawatan di pusat itu.

Bagi kesalahan itu, dia dituduh mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga enam bulan, denda sehingga RM2,000 atau kedua-dua sekali.

Sementara itu, Peguam Muhammad Izzat Irfan Taib mewakili tertuduh, Zuraina 46, yang ditemui di lobi mahkamah selepas prosiding memaklumkan pihaknya telah menghantar representasi itu pada 20 Januari lalu.

“Sepatutnya hari ini keputusan representasi namun malangnya pihak pendakwaan menyatakan perlu mengambil keterangan daripada pegawai perubatan yang mengeluarkan laporan perubatan.

“Berdasarkan laporan perubatan yang telah diterima pembelaan pada hujung tahun lalu, terdapat kecederaan dan trauma daripada pemeriksaan di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang,” katanya.

Jelas Muhammad Izzat, ini menunjukkan tahap konsisten sama dengan dakwaan anak guam sebelum ini bahawa anaknya telah didera selepas menerima rawatan pemulihan di premis tersebut.

Pendedahan pemeriksaan itu menunjukkan perbezaan dengan kenyataan yang pernah dikeluarkan polis bahawa pemeriksaan dibuat di Hospital Shah Alam mendapati tiada sebarang kecederaan pada mangsa.

Kosmo! sebelum ini melaporkan kejadian dera pelatih yang didakwa berlaku di sebuah madrasah di Shah Alam terbongkar selepas sebuah keluarga mahu menghantar kek dan makanan ke pusat berkenaan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI