ALOR SETAR – Pada usia tiga tahun, Rafa Alauddin Abdul Rauf sepatutnya sudah boleh berlari dan bertutur, namun penyakit kanser otak yang dihidapi kanak-kanak itu sejak dua tahun lalu meragut semuanya.
Ketika ini, Rafa hanya terlantar atau didukung ibu, Noor Amira Saad, 28, dan bapa, Abdul Rauf Nordin, 28.
Lebih mengharukan, Noor Amira berkata, Rafa yang merupakan anak bongsu daripada dua beradik itu kini kehilangan penglihatannya sejak Disember tahun lalu akibat penyakit kanser tersebut.
“Rafa sudah tiga kali menjalani pembedahan buang ketumbuhan, cecair dan nanah dalam otaknya dengan yang terbaharu pada 14 Februari lalu.
“Sekarang Rafa masih menjalani rawatan di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini selepas pembedahan tersebut.
“Rafa tidak boleh melihat sejak Disember lalu sebab ketumbuhan tersebut dikesan sebelah otak kanan dan di belakang mata kanannya,” katanya ketika ditemui di HSB baru-baru ini.
Menurut Noor Amira, sejak menjalani pembedahan pada Mac dan Julai 2022, Rafa perlu menjalani sebanyak 13 kali kemoterapi di Hospital Pulau Pinang (HPP).
“Sepatutnya pada 17 Februari lalu, tetapi tidak boleh sebab Rafa perlu dibedah,” katanya.
Di sebalik penderitaan yang ditanggung Rafa, Noor Amira masih mengharapkan keajaiban agar anaknya itu pulih seperti sediakala.
“Rafa seorang anak yang sentiasa menceriakan keluarga. Dia dilahirkan secara normal, namun pada September tahun lepas disahkan mempunyai ketumbuhan dalam otak. Doktor beritahu Rafa hidap kanser otak tahap satu, jadi ada peluang untuk sembuh. Itulah harapan kami,” katanya.
Noor Amira bergantung penuh dengan pendapatan suaminya sebanyak RM1,200 sebulan sebagai pengawal keselamatan untuk menampung kos rawatan Rafa.
“Setiap bulan kami perlu sediakan RM300 kos perbelanjaan rawatan di HPP. Kadang-kadang terpaksa minta tolong ibu sendiri. Rafa ada terima bantuan RM500 daripada Jabatan Kebajikan
Masyarakat RM500 dan semuanya digunakan untuk rawatan Rafa,” katanya.
Orang ramai yang ingin membantu boleh menyalurkan sumbangan ke akaun Bank Islam milik Noor Amira bernombor 02105023168544.