fbpx

K2

Cara ganti puasa yang ditinggalkan bertahun-tahun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
UMAT Islam yang tidak mengqada puasa ditinggalkan dengan sengaja sehingga memasuki tahun berikutnya wajib membayar fidyah. – Gambar hiasan

Saya ingin bertanya soal gantian puasa yang ditinggalkan bertahun lama dan tidak ingat berapa hari yang ditinggalkan pada setiap tahun. Puasa ditinggalkan dari tahun 2008 dan tidak pernah diganti sehingga 2020. Bagaimana caranya?

Jawapan: Ibadah puasa pada bulan Ramadan adalah salah satu daripada rukun Islam yang difardukan ke atas setiap umat Islam.

Oleh itu, ia tidak boleh ditinggalkan sekiranya tidak ada sebarang keuzuran yang diharuskan syarak. Imam Ibn Hajar al-Haithami menyebutkan bahawa betapa besarnya kesalahan meninggalkan puasa Ramadan dengan sengaja. Hal ini jelas seperti yang disebutkan beliau: “Dosa besar meninggalkan puasa pada salah satu hari daripada hari-hari dalam bulan Ramadan, dan berbuka puasa padanya dengan persetubuhan atau selainnya tanpa sebarang keuzuran seperti sakit atau bermusafir.” (Lihat al-ZawajirJld.1, hlm.323).

Namun begitu, syariat Islam masih memberikan peluang kepada umatnya yang terlanjur meninggalkan puasa dengan sengaja dan mempunyai kesedaran untuk bertaubat kepada Allah SWT.

Maka, para fuqaha membahaskan hal ini di dalam perbahasan bab mengqada puasa bagi mereka yang meninggalkan puasa dengan sengaja.

Jika seseorang itu meninggalkan puasa Ramadan atas sebab-sebab tertentu, hukumnya adalah harus. Namun begitu, dia wajib mengqada puasanya itu mengikut bilangan hari yang telah ditinggalkannya. Firman Allah SWT: “Dan sesiapa yang sakit atau dalam musafir maka (bolehlah ia berbuka, kemudian wajiblah dia berpuasa) sebanyak hari yang ditinggalkan itu pada hari-hari yang lain.” (Surah al-Baqarah, 2:185)

Di sebalik ayat tersebut dapat difahami bahawa sesiapa yang meninggalkan puasa dengan sengaja tanpa sebarang keuzuran, dia telah berdosa bahkan wajib mengqadakannya (menggantikannya) sebagaimana sabda Nabi SAW: “Sesiapa yang sengaja muntah, hendaklah mengqadanya” (Riwayat Ibnu Majah)

Hal ini kerana, mereka yang meninggalkan puasa disebabkan keuzuran (yang diharuskan) seperti sakit dan musafir pun diwajibkan ke atas mereka menggantikannya semula. Maka adalah lebih utama bagi mereka yang sengaja berbuka puasa tanpa sebarang keuzuran.

Jika seseorang itu cuai dan tidak mengqadanya sehinggalah tiba bulan Ramadan yang berikutnya, dia berdosa dan wajib membayar fidyah.

Mereka harus memberi makan kepada golongan fakir sehari secupak makanan kebiasaan penduduk negeri setempat dan hendaklah menggandakan fidyah tersebut mengikut bilangan tahun yang dilangkaunya.

Secupak bersamaan seraup atau (1 1/3) kati Baghdad iaitu kira-kira 650 gram.

Di Pulau Pinang misalnya, satu cupak (650 gram) beras bagi tahun 1441H adalah RM1.75. Contohnya, jika seseorang meninggalkan puasa selama tiga hari dan tidak menggantikan puasanya sehingga tiga kali bulan Ramadan, maka kadar fidyahnya adalah RM 1.75 (1 cupak) X 3 hari X 3 tahun = RM15.75.

Harus diingatkan, kadar bayaran fidyah berubah mengikut harga yang ditetapkan oleh pemerintah di sesuatu tempat, manakala pengiraan kadar fidyah berdasarkan kadar harga beras (makanan asasi penduduk).

Berdasarkan kepada persoalan yang diajukan, setelah diteliti pandangan para ulama mazhab Syafie, kami menyimpulkan kepada beberapa perkara:

Sesiapa yang telah meninggalkan puasa wajib dengan sengaja ataupun tidak sengaja hendaklah mengqadanya (menggantikannya) semula mengikut bilangan hari yang telah ditinggalkan, sebelum tiba bulan Ramadan yang berikutnya.

Sekiranya dia tidak mengqadanya sehinggalah tiba Ramadan yang berikutnya, maka wajib membayar fidyah.

Sekiranya dia tidak pasti atau tidak ingat bilangan hari yang ditinggalkan, kiralah bilangan hari itu mengikut anggaran hari yang telah ditinggalkan berdasarkan sangkaan yang paling kuat dan ahwat (lebih berhati-hati).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI