SATU perihal yang perlu diakui, filem animasi tempatan sememangnya sedang berada di paras kualiti tersendiri.
Selepas peluncuran filem Mechamato Movie hujung tahun lalu, prestasi luar biasa terus ditonjolkan menerusi satu lagi naskhah animasi berjudul Didi & Friends The Movie yang merupakan antara karakter kesayangan rakyat Malaysia, terutama golongan kanak-kanak.
Secara beraninya, filem berkenaan bukan sekadar kartun atau animasi untuk kanak-kanak hingusan tetapi memberi suntikan emosi tersendiri kepada audiens tanpa mengira usia.
Bukan membodek tetapi memang itu dirasakan penulis usai menghabiskan durasi 104 minit menonton filem tersebut, baru-baru ini.
Dewasa
Sebagai orang dewasa, tiada dalam jangkaan bahawa filem kartun yang lazimnya dekat dengan kanak-kanak meninggalkan dampak sedemikian rupa kepada diri.
Mengapa begitu? Jawapannya ada dan bakal terjawab selepas menonton filem terbabit yang masih ligat ditayangkan di pawagam seluruh negara.
Naratif atau plot Didi & Friends The Movie mudah. Filem berkenaan mengisahkan tiga sekawan rapat dari Pekan Horey, Didi, Nana dan Jojo yang hidup aman damai.
Dek terlalu teruja diberi tanggungjawab mengendalikan Konsert Hora Horey, Didi melakukan kesilapan besar sehingga menyebabkan Pak Atan dan Pak Beruang perlu mengembara ke Pulau Legenda di Muzika untuk membetulkan keadaan.
Alih suara mantap!
Watak Didi, Nana dan Jojo pasti sangat dekat dengan para peminat kartun berkenaan. Pelakon yang diberi tanggungjawab mengalih suara tiga karakter terbabit iaitu Nur Insyeerah, Adilia Myra, Adam Muqri langsung tidak mengecewakan.
Menariknya dalam versi filem kali ini, jika dalam televisyen atau siri, tiga karakter tersebut hanya menyanyi dan menari. Dalam Didi & Friends The Movie pula mereka ‘beraksi’ lebih daripada rutin biasa.
Menyeronokkan dan mengujakan! Ya, perasaan itu hadir datang daripada fikiran orang dewasa yang diberi kesempatan menonton filem syarikat Warnakala Studios, Digital Durian dan Astro Shaw.
Lebih mengujakan, terdapat juga kemunculan karakter-karakter baharu seperti Tok Chip yang dimainkan Datuk Awie, Kapten Zee (Amelia Henderson) dan Torra (Waris).
Tok Chip ‘pecah’, Kapten Zee hebat
Tok Chip punya lelucon yang tak perlu dibawa berbincang. Memang ‘pecah habis’ walaupun sekadar karakter animasi. Menerusi versi filem kali ini, Tok Chip ke hadapan sebagai watak penting yang menjadi nadi dalam pengembaraan Didi, Nana dan Jojo ke Pulau Legenda.
Tidak dilupakan karakter yang dimainkan pelakon jelita, Amelia Henderson sebagai Kapten Zee. Ada bahagian dalam filem yang memerlukan pelakon cantik itu menyanyi rap dan itu adalah momen yang melekat dalam minda penulis ‘rent-free’ sehingga sekarang. Amelia memang boleh menyanyi rap!
Watak Torra pula villain (antagonis) dalam Didi & Friends The Movie.
Karakter meminjam lakonan suara Waris itu mengingatkan audiens bahawa tidak semua orang jahat dimotivasikan niat yang tidak baik.
Kadang-kadang dunia ini terlalu kejam dan orang sekeliling suka menghakimi daripada menghulurkan bantuan.
Itu mesej atau nilai dipelajari daripada Didi & Friends The Movie. Selebihnya rasai, menyanyi dan menarilah sendiri bersama Didi dan rakan-rakan dalam filem yang masih hangat ditayangkan di pawagam ketika ini.