PETALING JAYA – Pertubuhan amal Yayasan Nurjiwa milik penyanyi tersohor negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza peka dengan musibah banjir yang berlaku di beberapa buah negeri tanah air sejak minggu lalu apabila tampil menghulurkan sumbangan kepada mangsa terjejas.
Siti, 44, menerusi perkongsian video dalam Instagram berkongsi aktiviti agihan sumbangan yang diserahkan wakil pertubuhan tersebut kepada mangsa-mangsa terjejas di Pahang dan Johor.
Menurut pemilik nama lengkap Siti Nurhaliza Tarudin itu, bantuan yang disalurkan kepada mangsa banjir merupakan hasil sumbangan syarikat dan individu kepada yayasan tersebut termasuklah menerusi penganjuran konsert Music of The Soul: An Evening With Dato’ Seri Siti Nurhaliza pada November tahun lalu.
“Alhamdulillah dengan segala nikmat-Mu, kami dapat berkongsi rezeki bagi meringankan beban mangsa banjir di sekitar Rompin, Pahang dan Kota Tinggi, Johor.
“Inilah antara kerja amal Yayasan Nurjiwa dengan setiap sumbangan daripada sesiapa pun. Setiap yang berlaku termasuk bencana alam adalah sesuatu yang tidak dapat kita jangka. Yayasan Nurjiwa akan sentiasa bersedia,” tulis pelantun lagu Aku Bidadari Syurgamu itu dalam hantaran video Instagram.
Menerusi perkongsian tersebut, Siti memuat naik beberapa keping gambar bantuan yang disumbangkan kepada mangsa banjir berupa barangan keperluan asas dan makanan.
Berterima kasih kepada semua pihak yang menghulurkan bantuan, ibu kepada dua cahaya mata itu berharap semoga semua kebaikan yang dilakukan akan dirahmati Allah dengan balasan pahala berganda.
Sekitar 2021 ketika beberapa kawasan sekitar Lembah Klang dilanda banjir teruk, Siti bersama suami, Datuk Seri Khalid Jiwa turun padang menghulurkan bantuan kepada mangsa terjejas.
Selain itu, penyanyi itu juga pernah menghantar sumbangan kepada mangsa banjir di Pahang, khususnya buat penduduk kampung halamannya, Kuala Lipis yang dilanda bencana alam tersebut pada Januari 2021.
Untuk info, Yayasan Nurjiwa yang diwujudkan pada 2006 oleh Siti bersama Datuk Khalid merupakan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang bermatlamat membantu insan-insan memerlukan serta kurang bernasib baik.
Selain aktif melakukan aktiviti kebajikan di tanah air, Yayasan Nurjiwa juga membangunkan sebuah tadika untuk anak-anak kecil di Gaza, Palestin iaitu Tadika Afwa Al Aafiyah sempena nama dua anaknya, Siti Aafiyah dan Muhammad Afwa. – KOSMO! ONLINE