SHAH ALAM – Tindakan seorang wanita dengan selamba meletakkan troli di hadapan sebuah kereta yang di dalamnya terdapat pemandu dalam kejadian sebuah pasar raya di Lembah Klang, baru-baru ini mengundang kecaman dalam media sosial.
Perangai lapuk malas masyarakat itu tular menerusi video berdurasi 27 saat memaparkan perbuatan tersebut yang jelas menggangu pengguna lain atas sikap pentingkan diri sendiri.
“Bila manusia tidak ada pemikiran logik walaupun kita ada dalam kereta, (dia tinggalkan sahaja troli itu). Nasib baik ada kamera (papan pemuka) kereta,” tulis pemilik video kamera kereta itu.
Seorang pengguna Facebook, Muhd. Zafran berkata, adalah sukar untuk menuju negara maju sekiranya masih terdapat individu mempunyai pemikiran tahap lama.
“Minda masih kelas ketiga, macam mana nak maju kalau troli pun tidak diletakkan di tempat yang sepatutnya. Video ini tular untuk memberi kesedaran kepada orang ramai dan bukannya untuk mengaibkan dia (wanita itu),” katanya.
“Sekurang-kurangnya jangan letak sampai halang kereta orang lain. Carilah ruang kosong kalau malas sangat hendak letak di tempat asal. Fikir diri sendiri sahaja,” ujarnya Noor Mohd. – KOSMO!ONLINE