KOTA BHARU – Sebanyak 603 buah masjid di Kelantan dilaporkan bebas daripada ceramah yang mempunyai unsur-unsur berkait dengan sebarang kempen parti politik.
Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad berkata, Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (Maik) memaklumkan bahawa pihaknya sudah lama tidak mengizinkan mana-mana pihak menggunakan masjid sebagai tempat untuk menyebarkan propaganda politik.
Menurutnya, Maik juga sentiasa mengawal dan menjaga semua masjid bagi mengelak timbulnya sebarang gerakan-gerakan tertentu.
“Tidak dinafikan ada cubaan untuk memasukkan elemen politik di institusi agama ini, namun masjid di Kelantan tetap bebas daripada elemen tersebut kerana unsur-unsur itu sememangnya tidak dibenarkan.
“Sekiranya masjid dikesan melakukan kesalahan (ceramah politik), peruntukan undang-undang yang sudah ditetapkan akan digunakan dan semua keputusan akan diputuskan oleh mahkamah,” katanya selepas Pelancaran Buku 150 Masjid Muhammadi di Perpustakaan Maik di Jalan Tok Hakim di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Mohamad Shukri berkata, masjid merupakan tempat aman yang diutamakan untuk kegunaan ibadah dan bukan tempat untuk kepentingan parti politik. – KOSMO! ONLINE