JAKARTA – Atap beberapa rumah penduduk sebuah kampung di Indonesia rosak teruk disebabkan oleh sistem bunyi gergasi yang dipasang untuk sebuah majlis, lapor laman berita Liputan6.
Berdasarkan sebuah klip video yang dimuat naik dalam akaun Twitter @LokalPendaki, sistem bunyi itu menyebabkan atap-atap genting jatuh dari bumbung rumah penduduk.
Ia dikatakan telah dipasang menggunakan rangka besi pada ketinggian yang melepasi rumah penduduk kampung.
Sebilangan penduduk kampung kelihatan panik ketika menyaksikan atap genting itu runtuh manakala beberapa kanak-kanak bergegas meninggalkan lokasi kejadian.
Walaupun bunyi kuat itu menyebabkan kekecohan, penganjur majlis tersebut tidak segera merendahkan bunyi berkenaan.
Kejadian itu mendapat perhatian netizen di ruangan komen.
“Simulasi gempa bumi,” komen seorang netizen. – Agensi