fbpx

Sejadah, Yasin tidak basah walaupun rumah masuk air

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Sejadah, yasin tidak basah walaupun rumah masuk air.

SEGAMAT – Seorang mangsa banjir tergamam apabila melihat sejadah dan naskhah Yasin tidak rosak mahupun basah walaupun banjir menenggelamkan keseluruhan ruang dalam rumahnya di Kampung Jawa Baru, Chaah, di sini.

Menurut Azizah Bani, 53, dia menjumpai sejadah serta Yasin tersebut sewaktu membersihkan rumahnya selepas air surut sejak semalam.

“Satu-satunya barang yang selamat dan sempurna adalah sejadah dan Yasin ini. Alangkah terkejutnya saya. Saya tidak dapat tahan air mata apabila saya tengok kedua-dua barang itu tak koyak langsung atau basah.

“Saya berasa sangat insaf melihat kebesaran Allah ini,” katanya ketika ditemui di sini semalam.

Katanya, pakaian serta semua perkakas rumah habis hanyut dan bergelimpangan di dalam rumah, namun sejadah serta yasin tersebut selamat.

Azizah berkata, keajaiban yang pertama kali berlaku di rumahnya itu kalau difikirkan mengikut logik akal, semua barang tersebut sepatutnya sudah basah dan koyak.

Dalam kejadian bencana banjir pada 1 Mac lalu, Azizah, suami, abang serta tiga orang anaknya terpaksa memecahkan bumbung kediaman bagi menyelamatkan diri apabila paras air naik mendadak di Kampung Jawa, Chaah di sini.

Enam sekeluarga ini turut berada di atas bumbung rumah selama tujuh jam dalam keadaan kesejukan berikutan hujan lebat dan kelaparan sebelum diselamatkan oleh pihak polis dengan menggunakan bot penyelamat.

Sementara itu, suami Azizah, Wahid Panot, 63, berkata, terdapat al-Quran serta yasin yang lainnya di dalam laci yang basah.

“Ada buku-buku agama lain dalam laci didapati basah kerana terkena banjir, namun sejadah dan Yasin yang ini dijumpai atas lantai rumah tidak basah mahupun koyak walaupun telah terendam air bah.

“Kami orang biasa-biasa. Amalan juga biasa sahaja tiba waktu solat, kami solat.

“Kami juga bukanlah orang senang dan tidak dapat bantu dari aspek kewangan tetapi dari segi lain seperti datang membantu apabila mereka memerlukan pertolongan,” kata warga emas tersebut.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI