SHAH ALAM – Kerajaan negeri didesak segera mewartakan semula Hutan Simpan Kuala Langat Utara (HSKLU) atau berdepan tindakan perundangan daripada pihak terkesan seperti penduduk Orang Asli Kampung Busut Baru, di sini.
Gesaan itu dibuat Gabungan Pertahan HSKLU selepas pewartaan semula hutan berkenaan tertangguh hampir 18 bulan meskipun telah menghantar surat kepada pejabat Menteri Besar Selangor.
Menurut penyelaras gabungan itu, B. Suresh Kumar, pihaknya kecewa apabila kerajaan gagal menunaikan janji dengan kebimbangan hutan terbabit akan terus diteroka pihak tertentu atas pelbagai alasan termasuk projek pemasangan paip.
“Kami kesal tiada penjelasan atas kelewatan proses pewartaan semula yang dikeluarkan oleh Kerajaan Selangor walaupun isu ini mengugat masa depan pelbagai pihak berkepentingan dan pemegang taruh dalam kalangan rakyat.
“Justeru, pada hari ini kami sepakat menuntut Menteri Besar (Datuk Seri Amirudin Shari) segera mewartakan semula HSKLU sebelum 31 Mei depan,” katanya selepas menyampaikan surat tuntutan pewartaan semula HSKLU di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) hari ini.
Suresh Kumar memberitahu, berdasarkan kronologi isunya bermula pada Disember 2021 dengan Menteri Besar Selangor telah mengisytiharkan pewartaan semula HSKLU akan dilakukan menjelang suku pertama tahun 2022.
Tambah beliau, Amirudin pada 25 Mac tahun lalu turut memberikan jaminan sekali lagi bahawa HSKLU akan diwartakan semula sebelum Hari Raya Aidilfitri iaitu pada minggu pertama Mei tahun lalu.
“Pejabat Menteri Besar Selangor pada 8 April tahun lalu telah mengeluarkan satu kenyataan media bahawa kerajaan negeri telah mengarahkan Pejabat Tanah dan Galian Selangor dan Jabatan Perhutanan Negeri Selangor (JPNS) untuk mewartakan semula HSKLU.
“Kenyataan media daripada Menteri Besar telah dikeluarkan sekali lagi pada 10 Februari lalu bahawa Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) Selangor bersetuju pewartaan kawasan HSKLU yang dinyahwartakan sebelum ini. Namun sehingga kini didapati kawasan seluas 930.93 hektar belum diwartakan dan ini diibaratkan sebagai janji kosong sahaja,” ujarnya. – KOSMO!ONLINE