KUALA TERENGGANU – Polis Diraja Malaysia (PDRM) digesa membuka kertas siasatan terhadap Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang yang didakwa telah menyanggah titah Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin yang melarang aktiviti bersifat politik kepartian di masjid dan surau di negeri ini.
Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Terengganu, Raja Datuk Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad berkata, Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang sepatutnya akur dengan ketetapan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) berkuatkuasa Jumaat lalu tersebut.
“Arahan (Maidam) jelas melarang ahli politik menyampaikan kuliah di masjid dan surau demi mengelakkan institusi suci umat Islam itu dicemari unsur politik kepartian.
“Begitupun, Abdul Hadi menyanggah (titah Sultan Terengganu) dan menyatakan akan terus berkuliah (di masjid),” katanya selepas
membuat laporan polis berhubung kenyataan Abdul Hadi tersebut di Ibu Pejabat Daerah Kuala Terengganu di sini hari ini.
Kosmo! Sabtu lalu melaporkan Maidam melarang semua ahli politik menyampaikan ceramah, kuliah atau pengajaran agama dan menjadi imam serta khatib solat Jumaat di masjid dan surau di seluruh Terengganu.
Yang Dipertua Maidam, Datuk Shaikh Harun Shaikh Ismail berkata, ketetapan itu diambil sebagai menzahirkan rasa dukacita Sultan Mizan terhadap tindakan segelintir ahli politik tersebut yang terus berbuat demikian tanpa kebenaran.
Abdul Hadi kemudiannya dilaporkan bertegas mahu meneruskan ceramah di masjid dan surau di negeri ini kerana beranggapan politik dan agama tidak boleh dipisahkan. – KOSMO! ONLINE