fbpx

Mahkamah: Saksi nafi dapat Honda Jazz, beri keterangan selamatkan Bainun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Siti Bainun (tengah) ketika hadir di Mahkamah Sesyen hari ini. - Foto oleh SHIDIQQIN ZON/ KOSMO!

KUALA LUMPUR – Saksi pembelaan ketiga hari ini menafikan keterangannya di Mahkamah Sesyen di sini adalah semata-mata untuk menyelamatkan pengasas Rumah Bonda Siti Bainun Ahd Razali daripada tuduhan mengabai dan menganiaya remaja perempuan Sindrom Down Bella.

Semasa prosiding, Noor Marliana Ramlee, 28, turut menafikan terhutang budi kepada Siti Bainun dan mereka-reka cerita selain menafikan menerima barangan mewah termasuk kereta jenis Honda Jazz daripada Siti Bainun.

“Saya hadir hari ini untuk beritahu apa yang saya tahu sahaja, bukan untuk selamatkan Siti Bainun. Saya tidak pernah nampak kejadian itu (Bella diberi cili dan disimbah air panas) berlaku sepanjang berada di Kondominium Irama Wangsa,” katanya.

Semasa pemeriksaan balas oleh Timbalan Pendakwa Raya Shakira Aliana Alias, saksi itu memberitahu dia dan anak lelakinya tinggal bersama Siti Bainun di Kondominium Irama Wangsa, Wangsa Maju, kira-kira dua tahun lalu.

Semalam dalam keterangannya saksi itu ada memberitahu ketika dia bekerja di Rumah Bonda sebagai kerani, dia hanya berpendapatan RM900.

Shakira: Saya katakan pendapatan RM900 ini tidak cukup untuk menanggung kehidupan kamu dan anak.

Noor Marliana: Cukup sebab saya ada suami.

Shakira: Saya katakan Siti Bainun menanggung kehidupan kamu dan keluarga.

Noor Marliana: Tidak setuju.

Perbicaraan di hadapan Hakim Izralizam Sanusi bersambung lagi petang ini.

Mengikut pertuduhan, Siti Bainun, 31, didakwa mengabai dan menganiaya remaja perempuan sindrom Down berusia 13 tahun itu, sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan fizikal serta emosi di sebuah unit kondominium di Wangsa Maju antara Februari dan Jun 2021.

Justeru pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI