SEREMBAN – Pengasuh taska yang bertanggungjawab menjaga bayi perempuan, Nour Rania Asyifaa Yuseri atau ‘Baby Syifaa’ terpaksa meletakkan bayi berusia 15 bulan itu di dalam buaian bagi membolehkan dia tidur sebelum ditemui dalam keadan kepala tergantung dan tidak sedarkan diri pada 22 Februari 2022.
Saksi ke-19, Khairulnisa Ahmad Damanhuri, 38, yang menjaga ‘Baby Syifaa’ berkata demikian ketika hadir memberi keterangan pada prosiding hari keempat inkues di hadapan Koroner Datin Surita Budin.
Khairulnisa yang sedang sarat mengandung berkata, pada hari kejadian Syifaa mahu perhatian daripadanya dan ingin sentiasa diriba menyebabkan dia perlu menggunakan buaian yang bukan suatu ‘kebiasaan’.
“Apabila Syifaa menangis bayi yang lain pun tidak boleh tidur, pada mulanya saya ribakannya tetapi dia tetap menangis pada masa sama saya menghenjut dua ‘rocker’ di kiri dan kanan dengan kaki untuk tidurkan dua bayi lain,” katanya pada prosiding inkues di sini hari ini.
Jelas Khairulnisa, dia kemudian terpaksa mengambil sebuah buaian yang disimpan dalam almari di bilik asuhan untuk memastikan Syifaa dapat tidur.
Pada prosiding inkues yang bersambung pada 2.30 petang, mahkamah juga meminta Khairulnisa membuat demonstrasi bagaimana buaian itu dipasang dan keadaan bayi sebelum ditemui tergantung.
Ketika ditanya Timbalan Pendakwa Raya, Zahida Zakaria bagaimana keadaan Syifaa dalam buaian, Khairulnisa menjelaskan selepas Syifaa tidur dia menutup kain buaian dengan mencangkuk di kedua-dua bucu di kiri kanan supaya tiada ruang dan bayi tidak akan terjatuh sebelum keluar dari bilik untuk ke tandas dan makan.
“Apabila masuk semula ke dalam bilik saya terkejut apabila lihat Syifaa berdiri dengan kepalanya terkeluar dalam keadaan tertunduk dan saya menjerit terkejut dan memanggil Syifaa ketika mengangkatnya dia macam mengambil nafas tetapi keadaannya sudah terkulai,” jelasnya.
Khairulnisa berkata, dia cuba menyelamatkan Syifaa dengan cara menekan dadanya beberapa kali tetapi masih tidak sedarkan diri sebekum membawanya ke Klinik Kesihatan Sendayan.
Terdahulu, Khairulnisa mengesahkan pusat jagaan itu yang beroperasi sejak Disember 2020 tidak berdaftar di bawah Jabatan Kemajuan Masyarakat (JKM) dan mahkamah turut menetapkan prosiding inkues bersambung pada 21 dan 22 Mac depan untuk mendengar keterangan tujuh lagi saksi. – KOSMO! ONLINE