fbpx

Seram, bagaimana saya nak kahwin? – Farahdhiya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
FARAHDHIYA takut mahu mendirikan rumah tangga memikirkan kes-kes keganasan rumah tangga ketika ini.

PETALING JAYA – Penyanyi juga pelakon jelita Farahdhiya mengakui stres dan terganggu emosi setiap terbaca berita tentang keganasan rumah tangga, terutama melibatkan golongan selebriti mendapat perhatian ramai ketika ini.

Lebih teruk lagi, pendedahan kisah-kisah kecurangan dan pukul isteri yang menjadi liputan dan hangat diperkatakan dalam media sosial mencetuskan perasaan takut pada dirinya untuk mendirikan rumah tangga.

Farahdhiya atau nama lengkapnya Farahdhiya Mohd. Amin, 38, berkata disebabkan enggan fikirannya terganggu, dia mengambil keputusan untuk tidak terlalu aktif dalam media sosial bagi mengelak membaca berita-berita sebegitu.

“Saya akui sekarang memang kurang ‘bermain’ media sosial. Saya banyak mengikuti berita yang sejak akhir-akhir ini melaporkan kisah yang tidak seronok untuk dibaca.

“Sebagai contoh kemalangan dan keganasan rumah tangga. Bila baca berita-berita sebegitu, saya berasa agak tertekan. Emosi jadi terganggu. Saya pun tidak tahu kenapa,” ujarnya kepada Kosmo! Online.

Justeru, selebriti berdarah kacukan Melayu-Inggeris itu mengambil langkah memperlahankan aktivitinya dalam media sosial yang dianggap banyak memaparkan cerita tidak sihat untuk dibaca.

“Jadi saya anggap dalam media sosial banyak perkara tidak sihat untuk dibaca yang akan mengganggu ketenteraman emosi dan jiwa saya,” katanya.

Pada masa sama, penyanyi yang popular menerusi lagu Bertakhta Di Hati itu juga mengakui kisah-kisah yang terkait dengan keganasan rumah tangga sedikit sebanyak memberi kesan emosi untuknya mendirikan rumah tangga.

Selain sedih, Farahdhiya juga mengakui takut hal serupa akan berlaku terhadap dirinya selepas berkahwin suatu hari nanti.

“Bila baca kisah-kisah keganasan rumah tangga, memang emosi saya akan terganggu. Bagaimanalah saya nak berkahwin nanti?

“Saya takut jika terkena pada diri sendiri. Sepatutnya untuk para suami, jika sudah ambil anak orang secara elok, jika mahu dipulangkan semula pun biarlah dengan cara elok.

“Ini tidak. Ada yang sampai memukul hingga membunuh. Saya rasa seram. Apa nak jadi dengan dunia ini?” katanya ketika ditemui di majlis Apresiasi Bersama Media Sempena Program Khas Ramadan RTM 2023 di Angkasapuri, semalam.

Dalam perkembangan lain, Farahdhiya kini kembali sibuk menjalankan aktiviti seni selepas tiga bulan berehat untuk meluangkan masa bersama ibunya yang menetap di London, England datang bercuti ke Malaysia.

“Selepas tiga bulan berehat untuk meluangkan masa bersama ibu, saya kini kembali aktif bekerja. Saya sangat gembira dapat melepaskan rindu bertemu dengan ibu saya.

“Walaupun tidak dapat melakukan banyak aktiviti luar kerana musim hujan dan banjir,” katanya.

Untuk rekod, Farahdhiya pernah memberitahu dirinya belum lagi mendirikan rumah tangga kerana 90 peratus lelaki yang mahu mendekati dirinya adalah suami orang.

Farahdhiya kekal berpegang prinsip untuk tidak akan berkahwin dengan suami orang dan akan menolak awal-awal sekiranya disunting untuk menjadi isteri kedua. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI