PUTRAJAYA – Seorang anggota polis berpangkat Lans Koperal cedera dihempap dahan pokok ketika menunggang motosikal menuju ke tempat kerjanya di sini pagi tadi.
Dalam kejadian pukul 8.10 pagi di Jalan Presint 7D itu, mangsa dikenali sebagai Mazlan Mohd Emran, 27, mengalami cedera ringan di tangan.
Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner A. Asmadi Abdul Aziz berkata, mangsa kini sedang dirawat di Hospital Putrajaya.
Beliau berkata, siasatan mendapati, mangsa dalam perjalanan ke tempat kerja di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya sebelum terbabit kemalangan itu.
“Siasatan awal mendapati mangsa menunggang motosikal di lorong paling kiri sebelum dihempap oleh sebatang pokok reput yang di percayai berada di lorong kiri jalan.
“Ketika kejadian, permukaan jalan rata dan kering serta mempunyai empat lorong jalan sehala,” katanya ketika dihubungi tadi.
Katanya, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan siasatan lanjut masih diteruskan. – KOSMO! ONLINE