KEMAMAN – Ranaco Marine Sdn. Bhd. (Ranaco Marine) menjalin kerjasama strategik dengan Akademi Kemahiran Perindustrian Malaysia (MISA) dalam pengambilan pelajar dalam bidang maritim, minyak dan gas.
Ketua Pegawai Eksekutif Ranaco Marine, Ahmad Firdhaus Ramlan berkata, MISA bertanggungjawab menyebar luas lima kursus berkaitan maritim, minyak dan gas ditawarkan pihaknya.
“MISA merupakan rakan strategik yang terlibat secara langsung dalam hebahan iklan tawaran kursus, sesi penerangan dan temuduga calon pelajar Ranaco Marine.
“Kami menyasarkan kemasukan sekurang-kurangnya 550 pelajar bagi kesemua lima kursus ditawarkan sepanjang tahun ini,” katanya di kampus Ranaco Marine di Jakar di sini hari ini.
Terdahulu beliau menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Ketua Pegawai Eksekutif MISA, Siti Fatimah Hussin di kampus Ranaco Marine.
Ahmad Firdhaus berkata, Ranaco Marine merupakan pusat latihan maritim, minyak dan gas swasta yang menawarkan kursus peringkat sijil dalam tempoh tiga hingga empat bulan.
“Walaupun cuma peringkat sijil dan singkat, modul latihan kami amat komprehensif dan diperakui pemain industri tempatan. Kita sentiasa membuka ruang generasi muda selaras dengan saranan kerajaan untuk memperkasa latihan kemahiran teknikal dan vokasional (TVET),” katanya. – KOSMO! ONLINE